Pusat didesak lerai sekatan hak negeri, bayar pampasan

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Pusat dituntut mengambil serius isu penyelarasan Federalisme yang diucapkan dalam titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, baginda menzahirkan kekecewaan terhadap menyekat hak negeri, sekali gus menuntut keadilan ekonomi buat Pahang atas pengorbanan negeri untuk kepentingan negara.

Menurut beliau, antaranya titah baginda mengenai eksport pasir sungai di mana tindakan Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan negeri itu disifatkan sebagai satu amalan ‘double standard’ yang menjejaskan usaha negeri menambah hasil dan menangani isu banjir.

Beliau berkata, sebagai negeri yang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung, aktiviti pengorekan pasir adalah keperluan mendesak bagi memastikan kelancaran aliran air sungai, sekali gus mengurangkan risiko bencana banjir tahunan.

“Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia.

“Sudah tentu banyak mendapat pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir,” katanya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) menegaskan, hak terhadap sumber asli seperti pasir, hutan dan sungai adalah di bawah bidang kuasa negeri dan tidak sewajarnya disekat oleh pihak lain.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan Pahang terhadap biodiversiti negara, beliau menuntut imbuhan setimpal daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ganti rugi terhadap kawasan hutan yang tidak diteroka demi kepentingan alam sekitar nasional.

“Pahang menyumbang satu kawasan yang sangat luas untuk biodiversiti negara kita. Tetapi sayangnya pengorbanan telah dibuat oleh Kerajaan Pahang ini sepatutnya dapat imbuhan yang agak setimpal daripada Kerajaan Persekutuan.

“(Iaitu) dalam bentuk bayaran ganti rugi kerana Pahang telah pun memperuntukkan kawasan tersebut di mana hasilnya tak boleh dikeluarkan, balak tak boleh tebang, cukai tak dapat dan sebagainya,” jelas beliau.

Peranan pembangkang disekat

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membangkitkan isu sekatan terhadap wakil rakyat pembangkang dalam memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif sebagaimana yang dititahkan oleh Baginda.

Beliau mendedahkan, akses ADUN pembangkang terhadap agensi kerajaan dan jawatankuasa di peringkat daerah kini semakin tertutup, termasuk pengguguran nama daripada Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah serta kumpulan bencana daerah.

“Kami tidak tak ada akses langsung. Tidak dijemput dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah. Demikian juga dalam ‘grup’ bencana daerah pun pembangkang dikeluarkan.

“Dengan kata lain bahawa apa penting ialah kerajaan menerima sistem demokrasi dan mengiktiraf kewujudan pembangkang yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyuarakan rasa dukacita terhadap pengurusan dokumen di Dewan Negeri Pahang apabila laporan-laporan penting sering diletakkan di bawah sekatan (embargo) sehingga hari terakhir persidangan yang menyukarkan proses penelitian dan perbahasan efektif.

Tengku Hassanal menyentuh mengenai kepentingan hubungan Federalisme antara Negeri dan Persekutuan semasa merasmikan Pembukaan Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pagi tadi

Baginda menitahkan Penasihat Undang-undang Negeri mengkaji ruang tindakan berhubung sekatan eksport pasir dan menuntut keadilan ekonomi buat Pahang yang banyak berkorban mengekalkan kawasan tadahan air serta hutan simpan demi kepentingan negara.

Perselisihan ini menjadi satu lagi siri pertikaian dalam pengurusan sumber asli antara negeri dengan Kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam aspek agihan hasil dan kuasa autonomi negeri terhadap tanah dan sumber air. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -

- Advertisement -