
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan tinggi negara kini dilihat sudah tidak lagi selari dengan keperluan ekonomi sebenar, bahkan produk lepasan universiti juga kebanyakannya gagal memenuhi kehendak industri atau pasaran kerja.
Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkongsi, perkara itu antara yang menjadi topik utama tokoh-tokoh pendidikan negara ketika berucap dalam Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru ini.
Malah sebahagiannya kata beliau, bukan sekadar pandangan akademik, tetapi merupakan amaran keras terhadap sistem pendidikan negara yang kini sedang berada di ambang kegagalan serius.
“Ini bukan lagi soal penambahbaikan kecil perlu dilakukan, tetapi soal hala tuju dan masa depan negara yang semakin kabur. Hari ini sebahagian besar fakulti di universiti seumpama kilang menghasilkan produk bernama graduan.
“Tetapi malangnya graduan tersebut tidak dapat memenuhi kehendak industri atau pasaran kerja,” tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Dr Haim berkata, secara khususnya sekitar 1.65 juta graduan bekerja di bawah kelayakan atau tahap pendidikan sebenar di mana 165,000 orang tidak berkerja tetapi aktif mencari kerja, manakala 838,000 ribu tidak bekerja dan tidak mencari pekerjaan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, ini jelas menunjukkan pendidikan tinggi negara dalam krisis di mana seramai 2.6 juta graduan tidak mendapat tempat dalam pasaran kerja.
“Dalam Kongres Pendidikan Bumiputera tersebut didedahkan bahawa institusi pendidikan khususnya universiti telah semakin hilang fungsi sebenar sebagai pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan.
“Universiti tidak lagi menjadi pusat idea besar. Sebaliknya, sering tenggelam dalam birokrasi, petunjuk prestasi (KPI) sempit dan sistem yang tidak berani berubah,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.
Pemimpin IPT ‘hamba’ orang politik
Tegasnya, ramai pemimpin utama universiti hari ini menjadi ‘hamba’ kepada ketuanya iaitu orang politik dan tidak memberi tumpuan
bekerja untuk memajukan pendidikan tinggi serta masa depan anak bangsa.
Dalam pada itu katanya lagi, sekolah rendah dan menengah pada asasnya semakin rapuh, di mana masalah literasi dan numerasi masih berlarutan serta jurang pendidikan penduduk bandar dan luar bandar semakin melebar.
Sementara guru-guru pula katanya, dibebankan dengan pelbagai tugasan bukan sahaja sebagai pendidik bahkan urusan pentadbiran dan kurikulum pula terlalu padat namun tetapi tidak membina pemikiran kritikal.
“Negara sebenarnya sedang melahirkan pelajar yang lulus peperiksaan tetapi gagal memahami realiti kehidupan. Pendidikan tinggi umpama kilang graduan tanpa arah bagi sesetengah fakulti dan program akademik.
Ketidakpadanan antara bidang pengajian dan keperluan industri semakin melebar,” ujarnya turut menyatakan para pelajar dari golongan keluarga miskin dan sederhana semakin ramai terperangkap sebagai ‘underemployment’ atau ‘unemployed‘.
Dalam masa sama katanya, penyelidikan universiti pula tidak diterjemah kepada nilai ekonomi dan hilang peranan sebagai pemacu inovasi negara dan walaupun negara mampu melahirkan ribuan graduan setiap tahun, tetapi tidak mampu berperanan menjadi pemacu ekonomi.
“Krisis kepimpinan dan sistem semakin membarah dalam pentadbiran negara. Kita dapat melihat bagaikan tiada penyelarasan jelas antara dasar pendidikan dan dasar ekonomi.
“Reformasi bukan hanya dilakukan secara kosmetik, sebaliknya struktural. Kepimpinan pendidikan juga dilihat tidak cukup berani untuk melakukan perubahan besar.
“Sistem ini bukan sekadar lemah malah tidak dipimpin dengan visi yang jelas,” bidas beliau lagi.
Bajet pendidikan dipotong
Beliau juga menegaskan, disaat rakyat perlukan pembelaan, bajet Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi pula dipotong sehingga RM2.856 billion.
“Dalam keadaan sistem yang sudahpun bermasalah, kerajaan mengambil langkah kebelakang. Kementerian Pendidikan hilang RM466 juta, Kementerian Pendidikan Tinggi pula RM2.39 bilion. Ini bukan sekadar angka dalam laporan kewangan.
“Tetapi ini adalah pengurangan peluang untuk anak-anak terutama di luar bandar dan anak-anak miskin bandar dan luar bandar mendapat pendidikan berkualiti.
“Penguncupan akses kepada pendidikan berkualiti bermakna masa depan generasi akan datang digelapkan oleh pemimpinnya sendiri,” kata beliau meluahkan ketidakpuasan hati.
Negara katanya, berjimat pada perkara yang paling tidak boleh dijimatkan iaitu pendidikan sedangkan pendidikan adalah
masa depan rakyat dan negara.
Jika keadaan tersebut berterusan katanya, maka jurang pendidikan Bumiputera akan semakin melebar dan mobiliti sosial akan semakin terhad, sekali gus generasi muda akan kehilangan daya saing.
Akhirnya negara kata Dr Haim, berdepan realiti pahit kerana kegagalan negara memiliki sistem pendidikan untuk melahirkan bangsa yang berdaya saing.
Berikutan itu, beliau turut berkongsi beberapa solusi yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan agar keadaan tidak terus meruncing dan memberi kerugian kepada negara.
Solusi cadangan
Antaranya, kerajaan perlu menubuhkan majlis penyelarasan nasional antara industri dan pendidikan serta susun semula program pengajian berdasarkan keperluan sebenar industri dan pasaran kerja.
Selain itu syor beliau, hentikan program yang tidak relevan kerana pendidikan mesti menjadi enjin ekonomi negara bukan sekadar sistem akademik.
Seterusnya kemuka beliau, pulih dan tambah bajet dua kementerian berkenaan dan beri fokus kepada sekolah-sekolah luar bandar, STEM, TVET dan kemahiran masa depan.
Termasuk katanya, digital dan ‘AI readiness‘ kerajaan di mana pendidikan adalah pelaburan strategik dan pastinya bukan beban kewangan.
Dr Haim juga mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendidikan untuk mengaudit keseluruhan sistem kurikulum, institusi, ‘outcome’ dan impak pelajar kepada sosial ekonomi negara.
“Negara tidak perlukan pembaikan kecil tetapi ‘total reset’ untuk keseluruhan sistem pendidikan negara. Jika rakyat dan negara terus berdiam diri maka negara akan melahirkan generasi yang tidak bersedia.
“Malahan negara akan membina ekonomi tanpa tenaga mahir tempatan. Ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang ketinggalan dalam persaingan global.
“Sekarang bukan lagi ‘apa masalahnya’ tetapi ‘berapa lama lagi kita mahu biarkan sistem ini terus gagal’. Bangkitlah seluruh rakyat Malaysia demi kelangsungan masa depan anak bangsa.
“Ini bukan isu politik tetapi isu maruah dan masa depan kita semua. Bersama kita membina Malaysia yang lebih adil, bersih dan berjaya,” seru beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











