
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kepentingan sebenar yang sedang diutamakan pihak tertentu susulan isu cadangan pembukaan kandang babi di Selangor walaupun pendirian Sultan Selangor sudah dizahirkan dengan jelas.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menegaskan titah dan pendirian Sultan Selangor sepatutnya diberikan keutamaan serta penghormatan tertinggi oleh semua pihak.
“Persoalannya, kepentingan siapa yang sedang mereka utamakan?” katanya yang juga merupakan mantan Setiausaha Agung Barisan Nasional dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan dan kesal melihat seolah-olah wujud desakan berterusan daripada pihak yang memiliki kuasa untuk tetap membuka kandang babi walaupun pendirian Sultan Selangor telah dizahirkan dengan begitu jelas.
Menurutnya, PN menegaskan sokongan penuh terhadap kedaulatan institusi istana selain menyeru seluruh rakyat dan pimpinan negara supaya sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam, orang Melayu serta menghormati setiap titah yang diperkenankan oleh Sultan Selangor dan institusi Raja-raja Melayu.
“Institusi istana bukan sekadar simbol adat dan warisan, bahkan merupakan benteng penting dalam mempertahankan kestabilan, keharmonian dan kedaulatan negara. Daulat Tuanku,” tambahnya.
Annuar yang juga bekas pimpinan Umno menjelaskan institusi istana merupakan tunjang kedaulatan negara dan payung kepada keharmonian rakyat.
Justeru menurutnya, setiap titah yang diperkenankan oleh Sultan Selangor wajib dijunjung, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat termasuk pimpinan kerajaan di semua peringkat.
Dalam isu cadangan pembukaan ladang dan kandang babi di Selangor, beliau memaklumkan rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa Sultan Selangor telah bertitah supaya tiada sebarang pembukaan kandang babi baharu di mana-mana kawasan dalam negeri itu.
“Namun amat mendukacitakan apabila hasrat sebenar titah Tuanku ini yang juga disokong penuh oleh rakyat jelata, seolah-olah tidak difahami oleh pihak-pihak tertentu.
“Keadaan ini akhirnya menyebabkan Tuanku terpaksa mengeluarkan penegasan terakhir atau ‘full stop’ bagi memperlihatkan pendirian baginda yang jelas dan tegas bahawa Selangor tidak memerlukan pembukaan kandang babi di mana-mana bahagian di dalam negeri Selangor,” jelasnya.
Beliau juga berpandangan Sultan Selangor memahami realiti negeri itu yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, sensitiviti masyarakat yang pelbagai serta risiko pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, beliau menyifatkan titah tersebut mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan baginda terhadap kepentingan rakyat negeri Selangor secara keseluruhan.
Selain itu, beliau berpendapat pendekatan mendapatkan sumber protein daripada negeri atau negara lain turut memperlihatkan pertimbangan yang lebih selamat dan lestari demi menjaga kesihatan awam, kebersihan alam sekitar dan keharmonian sosial.
“Sebagai sebuah negeri perindustrian yang sudah maju ke hadapan, adalah lebih wajar Selangor menjadi pusat industri moden dan lestari yang lebih bermunafaat bagi rakyat Selangor dan negara,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda kekal tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran tanah, udara dan sumber air sungai.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda turut berpandangan penternakan babi tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah terhad, nilai hartanah tinggi serta kos penternakan moden yang tidak praktikal.
Baginda juga katanya, mencadangkan bekalan daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak dan menegaskan isu penternakan babi di Selangor perlu dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya atau ‘full stop’ demi menjaga keharmonian rakyat. –HARAKAHDAILY 8/5/2026











