
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir, menegur Umno supaya menilai kembali keupayaannya meyakinkan rakyat, khususnya orang Melayu, bahawa parti itu masih mempunyai pengaruh dan mampu bangkit semula dalam landskap politik negara.
Beliau berkata, perkembangan terbaharu membabitkan kemelut politik di Negeri Sembilan, menunjukkan parti itu semakin hilang kekuatan dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
“Bagaimana Umno mahu yakinkan rakyat khasnya umat Melayu bahawa ia masih bertaring dan mampu bangkit kembali?” katanya.
“Kerajaan Pusat terang-terang campur tangan urusan kerajaan negeri bawah dominasi PH.
“Akhirnya ternoktahlah bahawa bawah pakatan PH-BN ini, yang banyak kerusilah yang paling berkuasa,” tegasnya dalam media sosial milik beliau.
Roslan turut menegaskan, Umno kini sekadar mengikut keputusan gabungan kerajaan campuran itu tanpa mempunyai kuasa menentukan pendirian sendiri.
“Yang lain termasuk Umno ikut sahajalah, jangan cuba-cuba cari pasal. Berpengaruh betul DAP,” tegasnya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Umno Negeri Sembilan menegaskan pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, adalah muktamad dan tidak akan berubah.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin dalam mengemudi pentadbiran negeri.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan berkenaan bukan soal politik atau kuasa, sebaliknya berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan Raja di Negeri Sembilan.
“Umno tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ini demi kepentingan negeri bagi mengelakkan krisis adat menjadi lebih parah,” tegasnya.
Bagaimanapun, jurucakap Kabinet merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dilaporkan berkata, Kerajaan ‘Perpaduan’ di Negeri Sembilan kekal dan terus dipimpin Menteri Besar, Aminuddin Harun.
“Jadi keputusan sekarang ialah Kerajaan ‘Perpaduan’ di Negeri Sembilan kekal, maka mereka (14 ADUN) kekal menyokong Kerajaan ‘Perpaduan’.
“Kerajaan ‘Perpaduan’ Negeri Sembilan kekal mentadbir dengan dipimpin oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin,” katanya.
Mengulas perkembangan itu, Roslan berpandangan, penegasan Umno Negeri Sembilan bahawa keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar adalah ‘muktamad’ akhirnya tidak dapat dipertahankan.
“Begitulah nasib Umno bawah dominasi PH. Umno Pusat tidak mampu pertahankan anak-anak buahnya di Negeri Sembilan.
“PH yang didominasi DAP rupanya menentukan segala-galanya.
“Yang muktamad pun boleh dipatah-patahkan kalau kepentingan PH terancam,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











