
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan cadangan model ‘ekonomi konsert’ diketengahkan DAPSY sebagai sesuatu amat dangkal, mencerminkan pemikiran sempit dan langkah ke belakang.
Menurut beliau, hiburan bukanlah sesuatu yang salah, namun pelaksanaannya perlu mempunyai batas serta kawal selia jelas supaya tidak membuka ruang kepada budaya tidak sihat dan gejala sosial dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
“Berhibur tiada salahnya, namun apabila salah memilihnya, ia boleh membawa kesan buruk. Pembangunan ekonomi negara perlu diseimbangkan dengan nilai budaya, moral dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia memiliki pelbagai kekuatan dan tarikan tersendiri yang mampu menjadi pemacu ekonomi negara tanpa terlalu bergantung kepada penganjuran konsert serta festival hiburan berskala besar.
Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, sektor pelancongan negara seharusnya memberi fokus kepada kekayaan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keunikan warisan tempatan yang menjadi identiti Malaysia di mata dunia.
“Dari Perlis hingga Sabah, Malaysia mempunyai 1,001 elemen pelancongan termasuk riadah, budaya, warisan, ekopelancongan, kesihatan, perniagaan, sukan dan perubatan yang boleh dibangunkan secara lestari tanpa perlu bergantung kepada penganjuran konsert berskala besar.
“Tidak wajar aktiviti pelancongan mengundang budaya hedonisme, konsert liar, penyalahgunaan dadah dan perlakuan tidak bermoral yang akhirnya memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan manfaat sebenar penganjuran acara berskala besar termasuk dakwaan pulangan ekonomi yang dikatakan mencecah ratusan jutaan ringgit, namun tidak dapat disahkan secara jelas.
Selain itu, timbul persoalan mengenai ketidakhadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu acara penutup pesta air yang sebelum ini dijadualkan untuk dirasmikan beliau.
Isu penganjuran Festival Muzik Air 2026 di Bukit Bintang terus mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin politik, khususnya melibatkan sayap pemuda parti.
Ketua DAPSY Kebangsaan (DAP), Woo Kah Leong memuji penganjuran festival berkenaan sebagai satu kejayaan besar dalam memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa, selain berpotensi merancakkan sektor pelancongan negara.
Beliau turut menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar memanfaatkan momentum tersebut dengan memperkasa model ‘ekonomi-konsert’ bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri pelancongan hiburan global.
Namun begitu, pandangan tersebut tidak dipersetujui Syahir dengan turut mempersoalkan dakwaan manfaat ekonomi yang dikaitkan dengan festival disifatkan mengejar ‘untung secupak, rugi segantang’ itu.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap implikasi sosial penganjuran program seumpama itu, termasuk kesannya terhadap institusi keluarga dan generasi muda.
Sehubungan itu, beliau mencabar kepimpinan DAPSY untuk mengadakan perdebatan terbuka bagi membincangkan isu berkenaan secara lebih telus dan menyeluruh.
“Cadangan tajuk, ‘Ekonomi-Konsert: Membina atau meruntuh negara?’. Bro DAPSY, ada berani?”- HARAKAHDAILY 7/5/2026











