Suami pelindung, bukan lesen pukul isteri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu keganasan rumah tangga dan penderaan terhadap isteri perlu diberi perhatian serius, apatah lagi ia semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini, demikian tegas Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

- Advertisement -

Kata beliau, perkahwinan adalah ikatan yang suci untuk membina keluarga bahagia, bukannya tiket kepada kaum lelaki mengambil kesempatan menjadikan isteri mangsa kezaliman tanpa belas ehsan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah itu berkata, kaum lelaki terutama yang bergelar suami adalah penyelamat kepada kaum wanita khusus terhadap isterinya.

“Bahkan, sikap ‘qawwam’ iaitu pemimpin, menjadikan si suami bukan sahaja bertanggungjawab terhadap isteri serta ahli keluarga, sebaliknya pemberi nafkah dan melindunginya,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan, kedudukan lelaki sebagai suami bukanlah lesen untuk mengongkong, memukul atau menindas isteri atau mana-mana wanita di bawah jagaannya.

Malah peringatnya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Islam sama sekali tidak meredhai perbuatan kezaliman terhadap isteri mahupun wanita.

“Penderaan fizikal kepada si isteri bukan sahaja satu kezaliman tetapi ia juga akan memberi implikasi buruk kepada anak-anak. Contohilah Rasulullah SAW.

“Baginda telah menunjukkan teladan terbaik dalam melayani ahli keluarga dengan penuh ehsan dan kasih sayang,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu lagi.

Isu berkenaan mendapat perhatiannya, berikutan berlaku tragedi menyayat hati apabila seorang ibu hamil menjadi mangsa penderaan suami sendiri di Sungai Petani, baru-baru ini.

Pada kejadian itu, mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah turut mengalami keguguran kandungannya yang berusia 12 minggu.

Malah difahamkan juga, perbuatan tersebut merupakan antara kejadian susulan yang pernah dikaitkan dengan insiden yang sama sebelum ini, terhadap pasangannya sehingga menyebabkan mangsa koma.

Justeru kata Dato’ Ashah, perbuatan seperti itu sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal di samping mengharapkan pihak berkuasa dapat memastikan tiada lagi mangsa pelaku seterusnya.

Beliau turut berharap usaha mengekang kes-kes seperti ini tidak terus berlaku, juga menyeru semua pihak memperkukuh sistem sokongan kepada mangsa, termasuk perlindungan segera.

Selain bantuan guaman, kaunseling dan ruang aduan yang selamat supaya kaum wanita berani tampil mempertahankan hak mereka.

Isu-isu sedemikian katanya, perlu ditangani segera dan diambil cakna oleh semua pihak, sama ada pihak berkuasa, komuniti setempat, masyarakat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Penderaan terhadap isteri, lebih-lebih lagi wanita hamil, adalah satu jenayah yang mesti ditentang. Mangsa keganasan rumah tangga bukan hanya menanggung luka pada tubuh badan, tetapi juga trauma jiwa yang berpanjangan” kata beliau lagi.

Terdahulu, suspek dilaporkan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak di mana fakta ini juga menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan wanita yang terdedah kepada risiko menjadi mangsa seterusnya. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -