Aktiviti parti dapat layanan macam acara rasmi kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyelar tindakan menggunakan aset dan anggota penguat kuasa kerajaan bagi mengadakan aktiviti parti politik hingga mengaburkan sempadan antaranya dengan urusan rasmi kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menzahirkan rasa terkejut apabila mendapati program ceramah politik yang merupakan aktiviti kepartian seolah-olah mendapat pengiktirafan sebagai acara rasmi kerajaan.

Beliau merujuk laporan penglibatan anggota polis bagi mengawal lalu lintas khusus untuk penganjuran majlis Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Negeri Sembilan, hari ini.

“Ceramah parti jadi acara rasmi, sampai anggota polis kena jaga lalu lintas. Kalau program kerajaan bantu rakyat, jual ayam murah, telur murah, logiklah juga kawal trafik. Ini ceramah parti. Memang luar biasa ‘standard’ yang kita sedang saksikan,” katanya.

Isu penggunaan aset dan anggota penguat kuasa termasuk jentera kerajaan yang lain bagi program berunsur politik kepartian dilihat mulai dinormalisasikan menjadi kemudahan dan kepentingan tertentu.

Sebelum ini, pemimpin kerajaan sendiri ketika berada di blok pembangkang begitu kerqs melaungkan mengenai ‘tatakelola’ dan reformasi terhadap masalah integriti atau penyalahgunaan jentera kerajaan bagi kepentingan kempen parti.

Ustaz Idris berkata lagi, situasi berkenaan mencerminkan satu definisi baharu iaitu ‘tatakelola hebat’ apabila sempadan antara parti dan kerajaan semakin hilang sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan ketetapan prinsip kepimpinan hari ini yang didakwa telah berubah berbanding zaman mereka memperjuangkan agenda reformasi dan menentang salah guna kuasa dahulu.

“Dulu laung reformasi, lawan salah guna kuasa. Hari ini, bila berada di tempat yang sama, rupanya tafsirannya berubah ikut situasi. Mungkin prinsip itu fleksibel, boleh dilentur, boleh dibengkok, asalkan sesuai dengan kepentingan semasa,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut menjadi saksi hidup kepada rakyat mengenai wajah sebenar kerajaan yang didambakan oleh kumpulan reformis selama 24 tahun sejak 1998 sehingga 2022.

“Mula-mula tengok berita macam tidak percaya. Cuba search, takut _fake news_. Rupa-rupanya berita ori (asli), bukan palsu. Ooo.. lupa, ‘Ini kerajaan kami, ikut suka kamilah hendak buat apa’.

“Akhirnya, tak perlu kita ulas panjang. Rakyat melihat, menilai, dan menyimpan dalam ingatan. InsyaAllah, rakyat hakim negara,” katanya dalam coretan tersebut. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -
- Advertisement -