Terengganu lancar 8 kiosk TPay mudahkan bayaran

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melancarkan lapan unit kiosk layan diri Terengganu Pay (TPay) bagi memudahkan sistem pembayaran khususnya kepada agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelaksanaan kiosk berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam memperluaskan penggunaan sistem tanpa tunai di seluruh negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, pada peringkat awal, sebanyak lapan kiosk telah ditempatkan di lokasi strategik termasuk lobi Wisma Darul Iman, Bangunan Yayasan Terengganu, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang serta beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih.

“Alhamdulillah, hari ini kita melancarkan Terengganu Pay yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Menteri Besar. Ini merupakan satu lagi kaedah yang kita ketengahkan kepada rakyat bagi memudahkan sistem pembayaran khususnya kepada agensi kerajaan negeri.

“Untuk fasa permulaan ini, sebanyak lapan kiosk telah disediakan di lokasi-lokasi strategik dan akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kiosk Layan Diri Terengganu Pay di Wisma Darul Iman, di sini.

Beliau menjelaskan bahawa kiosk berkenaan beroperasi selama 24 jam bagi memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan urusan pembayaran di luar waktu pejabat.

“Kedudukannya juga kita pilih di kawasan tumpuan supaya rakyat boleh menggunakannya pada bila-bila masa, bukan hanya dalam waktu pejabat. Itu antara kelebihan yang ada pada kiosk ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara perkhidmatan yang disediakan melalui TPay termasuk bayaran cukai tanah, cukai taksiran, bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu, fi perkahwinan Islam, fidyah, sumbangan dana pengurusan masjid serta Tabung Darul Iman.

Katanya lagi, pelaksanaan projek tersebut adalah hasil sumbangan pihak Payment Network Malaysia Sdn Bhd (Paynet) tanpa menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

“Kita merakamkan penghargaan kepada Paynet yang telah mendahulukan pelaksanaan termasuk menyediakan lapan kiosk ini,” ujarnya.

Mengulas perancangan masa hadapan, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan lagi perkhidmatan Terengganu Pay dengan menjadikannya sebagai pusat sehenti, tertakluk kepada syarat dan keperluan semasa.

“Kita akan kembangkan dari semasa ke semasa, termasuk mempertimbangkan penambahan perkhidmatan lain seperti parkir dan sebagainya jika bersesuaian serta tidak melanggar peraturan,” katanya.

Untuk rekod, PayNet telah menyumbang dana kira-kira RM500,000 bagi membantu pelaksanaan inisiatif pembayaran tanpa tunai itu, termasuk pembangunan kiosk dan promosi pembayaran cukai tanah secara digital.

Pembangunan aplikasi kiosk layan diri ini telah dibangunkan secara dalaman oleh Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Antara kelebihan yang ada pengguna dapat membuat carian cukai tanah menggunakan mykad reader yang disediakan pada kiosk. – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -