Mahkamah sahkan kes Afnan bukan fitnah, tapi penjelasan

Mahkamah Tinggi ketepi keputusan Mahkamah Sesyen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada hari ini menerima rayuan Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam kes saman fitnah terhadapnya, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berkata, keputusan tersebut bermakna mengesahkan bahawa hantaran yang menjadi asas saman terhadapnya sebelum ini bukanlah fitnah, sebaliknya penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.

“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang juga mengarahkan supaya individu yang menyaman itu membayar kos RM20,000. Duit saman yang telah saya bayar sebelum ini juga akan dikembalikan,” maklum beliau dalam media sosial miliknya.

Menurut Ustaz Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) beliau akan mengembalikan wang sumbangan digunakan bagi tujuan saman itu kepada PAS Negeri Kedah.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana beban fitnah yang ditanggung selama ini, hari ini dibersihkan oleh mahkamah. Kebenaran terbukti jua akhirnya. Alhamdulillah,” ulasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan, pimpinan dan ahli PAS yang memberi sokongan sepanjang tempoh perbicaraan kes berkenaan.

Penghargaan khusus turut diberikan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan banyak membantu dan memberi semangat kepadanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman itu memberi dua pengajaran utama iaitu kepatuhan kepada arahan ketua selagi tidak bercanggah dengan hukum serta kepentingan bersama jamaah dalam apa jua keadaan.

Dalam pada itu, beliau memaafkan pihak yang melemparkan fitnah dan cacian terhadapnya serta menasihatkan mereka supaya bertaubat sebelum terlambat, dan mereka dinasihatkan mencari rezeki halal.

Afnan Hamimi terdahulu mengimbau kes berkenaan bermula kira-kira lima tahun lalu ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah itu.

Katanya, beliau disaman oleh seorang individu atas dakwaan hantaran di Facebook memfitnah individu berkenaan, selain turut melibatkan Harakah dan pengarangnya yang menerbitkan hantaran itu.

“Walhal saya hanya menulis memperjelaskan situasi. Tulisan itu sebagai respon terhadap hantaran awal individu berkenaan mengenai  Dato’ Seri Sanusi. Tidak perlulah saya ulas kembali isi hantaran-hantaran tersebut. Ia sudah jadi akademik,” terangnya.

Beliau berkata, saman tersebut dibicarakan di Mahkamah Sesyen Butterworth selama hampir empat tahun sebelum mahkamah memutuskan memihak kepada individu terbabit serta mengarahkan bayaran tertentu dibuat.

“Dia menang. Mahkamah Sesyen juga buat keputusan ada sejumlah duit yang perlu dibayar. Duit itu telah dibayar. Duit itu hasil sumbangan pimpinan dan ahli.

“Dengan saluran undang-undang sedia ada, keputusan Mahkamah Sesyen itu dirayu kepada peringkat yang lebih atas, iaitu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Saya diberitahu peguam, disebabkan ada rayuan, maka duit yang telah dibayar itu ‘dipegang’ oleh peguam sehinggalah keluar keputusan rayuan.

“Tidak timbul isu kononnya saya tidak membayar duit atau mengelak untuk membayar,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.  – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -