Sumud: 10 aktivis Malaysia ditahan rejim Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sepuluh aktivis kemanusiaan warga Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) disahkan ditahan oleh tentera rejim Zionis Israel selepas kapal mereka dipintas secara agresif di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, awal pagi tadi.

Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC) dalam laporan rasminya memaklumkan bahawa insiden pencerobohan itu berlaku antara jam 1.00 pagi hingga 11.00 pagi waktu Malaysia ketika flotilla berkenaan berada di zon pelayaran antarabangsa yang sah.

Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby berkata, pihak tentera rejim Israel (IOF) telah bertindak di luar batasan undang-undang maritim antarabangsa (UNCLOS) dengan melakukan provokasi melampau.

“SNCC melaporkan berlaku provokasi di mana pihak IOF telah melepaskan tembakan amaran (warning shots) ke arah kapal delegasi selain melakukan gangguan frekuensi radio secara mengancam terhadap aktivis yang tidak bersenjata,” katanya.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza di mana sebanyak 22 kapal yang membawa 186 peserta misi dilaporkan telah dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung oleh tentera rejim.

Pihak SNCC turut mengesahkan kehadiran puluhan dron yang melakukan pemantauan serta gangguan komunikasi di ruang udara kawasan kejadian.

Rakaman audio dan visual yang diperoleh membuktikan rejim Zionis menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran tersebut.

Sepuluh rakyat Malaysia yang ditahan melibatkan peserta daripada enam kapal iaitu Zainal Rashid Ahmad (Arkham III); Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Manakala dari kapal Bianca BCN ialah Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, dan Norhelmi Ab Ghani; Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman yang sempat bertemu dengan delegasi Malaysia di Augusta Port, Catania, Itali pada 24 April lalu, mendesak kerajaan dan komuniti antarabangsa untuk bertindak segera bagi memastikan keselamatan peserta.

“Seluruh dunia termasuk Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera dengan segala usaha bagi memastikan seluruh aktivis-aktivis ini dibebaskan segera dan jaminan keselamatan kepada semua peserta. State terrorism Israel perlu dihukum atas kejahatan ini,” tegas beliau.

Sementara itu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap tindakan rejim yang menceroboh perairan berhampiran Eropah.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk apartheid yang melangkaui sempadan.

“Bagaimana Israel dibenarkan menyerang dan merampas kapal di perairan antarabangsa berhampiran Greece atau Eropah? Selain daripada apa yang anda boleh fikirkan tentang Apartheid Israel dan tindakan pembunuhan beramai-ramainya.

“Ini sepatutnya menimbulkan gelombang kejutan di seluruh Eropah. Apartheid tanpa sempadan,” kata beliau menerusi kenyataan rasminya.

Misi Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan usaha kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan untuk menembus kepungan haram ke atas Gaza melalui jalan laut.

Delegasi Malaysia memulakan penyertaan aktif di Catania, Itali sebelum meneruskan pelayaran ke perairan Gaza.

SNCC kini menyeru rakyat Malaysia untuk melaksanakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan buat semua delegasi.

Perkembangan semasa boleh dipantau secara langsung melalui sistem penjejakan di laman sntracker.sumudnusantara.com. – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -