
KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Terengganu menggesa Kementerian Pelancongan menilai semula penganjuran ‘Pesta Air Malaysia’ yang disifatkan perlu dirombak agar lebih selari dengan nilai budaya, agama dan kelestarian alam negara.
Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata, walaupun usaha menarik pelancong dan merancakkan ekonomi negara dialu-alukan, pendekatan penganjuran acara itu perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan kesan negatif kepada masyarakat.
Menurut beliau, antara kebimbangan utama ialah isu pembaziran sumber air ketika negara berdepan cuaca panas dan taburan hujan yang tidak menentu.
“Kami menyambut baik hasrat murni Kementerian untuk memacu ekonomi negara dan menarik minat pelancong asing. Namun begitu, setelah meneliti kesan penganjuran ini secara menyeluruh, perancangan ini wajar dinilai dan dirombak semula,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa terdapat tiga teras utama mengapa penganjuran berkonsepkan pesta air terbuka ini bercanggahan dengan nilai dan realiti semasa negara kita.
“Pertama, isu pembaziran sumber di tengah realiti iklim semasa negara kita dan rantau ini secara amnya sedang berhadapan dengan cuaca panas dan corak taburan hujan yang tidak menentu.
“Seterusnya, menganjurkan pesta berskala besar yang memfokuskan kepada pembaziran beratus ribu liter air bersih adalah tindakan yang kurang sensitif terhadap alam sekitar dan komuniti yang sedang berdepan isu bekalan air.
“Dari perspektif Islam, kelestarian alam adalah tuntutan, dan perbuatan membazir amatlah dilarang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, Rain Rave Water Music Festival yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini, 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang, Kuala Lumpur menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, kata Zarani, penganjuran pesta air terbuka juga dikhuatiri membuka ruang kepada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita serta menjejaskan nilai kesopanan yang menjadi pegangan masyarakat negara ini.
“Pesta air secara terbuka di khalayak ramai sering kali membuka ruang kepada pergaulan bebas yang sukar dikawal antara lelaki dan wanita, di samping pemakaian basah-basahan yang mencolok mata.
“Sebagai rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara ‘Kesopanan dan Kesusilaan’, kita wajib mengelakkan budaya hiburan yang mengikis rasa malu masyarakat,” katanya.
Zarani dalam masa sama berpandangan kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada produk pelancongan yang lebih mencerminkan identiti negara seperti ekopelancongan keluarga, karnival kebudayaan pelbagai kaum dan sukan air tradisional.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja mampu menarik pelancong, malah lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk keluarga serta kanak-kanak.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja memupuk semangat muhibbah pelbagai kaum, malah selamat dan selesa dikunjungi oleh keluarga dan kanak-kanak tanpa merosakkan sensitiviti mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan meneliti semula bentuk penganjuran program berkenaan sebelum ia diteruskan pada masa akan datang.
“Batalkan atau rombaklah format acara ini kepada satu penganjuran yang lebih harmoni, mengekalkan kelestarian alam, dan mengangkat martabat identiti luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2026











