Hak 40% Sabah: Utama prinsip adil, sejahtera rakyat

Norsah Bongsu
- Advertisement -

TAWAU: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), Norsah Bongsu menggesa kerajaan pusat mengutamakan prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat berhubung isu 40 peratus hasil negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, pendekatan yang dibawa oleh PAS adalah berasaskan prinsip kematangan politik, keadilan serta keprihatinan terhadap kepentingan rakyat negeri ini.

“Isu ini merupakan perkara yang mempunyai asas dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 112C dan 112D, dan telah melalui proses perundangan yang memerlukan penelitian berterusan.

“Perkembangan sebelum ini yang membuka ruang kepada semakan semula pembayaran hasil telah memberi harapan kepada rakyat Sabah ke arah penyelesaian yang lebih baik dan saksama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian mengulas ucapan perbahasan ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, Isnin lepas berhubung perkara itu.

Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menegaskan bahawa, tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri Sabah merupakan amanah Perlembagaan yang tidak boleh terus ditangguhkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh lari daripada memperjuangkan hak negeri Sabah yang telah lama dibincangkan dan tuntutan ini bukan lagi sekadar wacana politik, tetapi hak yang sewajarnya dikembalikan kepada rakyat negeri ini.

Sementara itu, menurut Norsah, perkembangan terkini berkaitan penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut wajar dilihat dengan penuh tanggungjawab serta kefahaman terhadap proses perundangan yang sedang berlangsung.

“Kami berpandangan bahawa, isu ini bukan sekadar melibatkan aspek perundangan, tetapi turut menyentuh kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam aspek pembangunan, kemudahan asas dan kestabilan kehidupan keluarga.

“Justeru, semua pihak diseru untuk terus mengutamakan prinsip keadilan, hikmah dan tanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang terbaik serta berpanjangan,” ujarnya.

Katanya, DMPNS akan terus menyokong usaha-usaha yang membawa kepada penyelesaian yang adil dan harmoni, selaras dengan kepentingan rakyat dan negeri.

Sehubungan itu, tambahnya DMPNS menyokong gesaan agar perkara itu ditangani dengan pendekatan yang telus, konsisten dan berasaskan semangat saling percaya antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Beliau percaya, di sebalik setiap dasar dan keputusan, terdapat harapan rakyat, termasuk para ibu yang mengurus kehidupan keluarga dengan penuh kesabaran, dan anak-anak yang mengimpikan masa depan yang lebih baik.

Tambahnya, setiap hak yang ditunaikan dengan adil akan menjadi asbab kepada kesejahteraan yang lebih luas kepada negeri.

- Advertisement -