Tanda krisis nilai, tak peka moral, kecelaruan negara

‘Rain Rave Water Music Festival 2026’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah keras, tegas dan tanpa kompromi terhadap penganjuran program ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, penganjuran festival berkenaan bukan sekadar isu hiburan semata-mata, sebaliknya mencerminkan krisis nilai, kegagalan kepekaan moral serta kecelaruan keutamaan dalam negara.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan acara tersebut sebagai satu ‘tamparan hebat’ terhadap solidariti ummah, khususnya ketika dunia masih menyaksikan penderitaan berpanjangan di Asia Barat, terutama di Palestin.

“Di saat umat Islam terus berdepan penindasan dan pertumpahan darah, penganjuran pesta hiburan berskala besar ini dilihat sebagai tidak selari dengan semangat kemanusiaan dan keprihatinan sejagat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, festival berkenaan berpotensi menormalisasikan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda, termasuk unsur pergaulan bebas, pendedahan aurat, serta hiburan tanpa batas yang melalaikan.

Katanya, situasi itu bukan lagi bersifat persepsi, sebaliknya realiti yang sering dikaitkan dengan penganjuran festival seumpamanya sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan hala tuju negara dan kepimpinan nilai apabila program sedemikian dibenarkan berlangsung, walaupun Malaysia mempunyai identiti Islam sebagai agama Persekutuan.

“Malah, ia memberi gambaran seolah-olah berlaku kelonggaran kawalan terhadap budaya yang tidak selari dengan nilai masyarakat serta pengutamaan hiburan berbanding pembinaan insan,” katanya.

Azmer Syazwan turut menyentuh soal keutamaan negara, dengan menegaskan bahawa penganjuran festival hiburan berskala besar dianggap tidak wajar ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global serta krisis kemanusiaan yang berlarutan.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk pembatalan segera program berkenaan, penjelasan rasmi daripada pihak terlibat serta penetapan garis panduan hiburan yang lebih tegas dan patuh syariah.

Beliau turut memberi amaran bahawa penganjuran acara tersebut berpotensi mencetuskan gelombang bantahan rakyat, khususnya dalam kalangan anak muda yang prihatin terhadap isu agama dan maruah ummah.

“Pada masa sama, golongan muda diseru agar bangkit sebagai generasi bermaruah dan tidak hanyut dalam hiburan yang melalaikan. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan terus berdiri teguh mempertahankan agama, akhlak dan maruah ummah,” katanya.

‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ adalah sebuah acara muzik dan pesta air yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei kononnya sebagai inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026. HARAKAHDAILY 29/4/2026

- Advertisement -