‘Saya katakan pendekatan lebih berperikemanusiaan’

Setinggan di Sabah

Datuk Dr Aliakbar Gulasan sering turun padang meninjau kehidupan masyarakat di kawasan setinggan.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Isu setinggan di Sabah tidak wajar disalah tafsir sebagai melibatkan sepenuhnya pendatang tanpa izin (PTI), sebaliknya perlu difahami dengan lebih tepat dan menyeluruh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Beliau berkata, sebahagian penduduk yang mendiami kawasan setinggan khususnya di Karambunai terdiri daripada bumiputera Sabah dan warganegara Malaysia, termasuk masyarakat tempatan serta komuniti lain.

“Jadi Karambunai khususnya, masyarakat Bajau Samah, masyarakat Dusun, masyarakat tempatan, orang Brunei yang duduk di kawasan-kawasan setinggan yang belum diwartakan.

“Sebab itu dalam ucapan itu, siapa yang baca penuh dalam kandungan itu, saya katakan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan, bukan hanya merobohkan tetapi semua warganegara khususnya disediakan penempatan alternatif ataupun penempatan semula dalam suasana petempatan yang tersusun,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menjelaskan demikian susulan laporan akhbar yang memetik ucapannya ketika perbahasan pada persidangan DUN Sabah, kelmarin.

Menurut Dr Aliakbar, kekeliruan timbul apabila sebahagian pihak hanya mengaitkan setinggan dengan PTI tanpa memahami realiti sebenar di lapangan.

“Saya tengok daripada komen-komen daripada netizen khususnya, mungkin sebahagiannya masih ada yang silap memahami atau kurang memahami bila saya katakan perlu pendekatan berperikemanusiaan. Ramai yang komen setinggan pendatang tanpa izin,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar membuka minda dan tidak membuat tanggapan umum terhadap isu setinggan tanpa memahami latar belakang sebenar penghuni kawasan berkenaan.

“Saya harap ini boleh memberi penerangan kepada semua, kadang-kadang kita silap, asal setinggan pendatang asing tanpa izin.

“Buka minda kita, kita buka jiwa kita, sebenarnya mereka yang duduk di kawasan setinggan sebahagiannya adalah saudara kita, rakan-rakan kita, jiran tetanga kita, yang mungkin masih lagi tinggal di kawasan setinggan tapi sebenarnya mereka adalah warganegara Malaysia dan penduduk tempatan negeri Sabah.

“Mudah-mudahan ini memberi sedikit kejelasan dan penjelasan kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2026

- Advertisement -