Desak segerakan audit forensik banjir Selangor

Mohamed Sukri (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi (kiri) yang mewakili Amirudin di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menyegerakan pelaksanaan audit forensik terhadap projek tebatan banjir susulan kejadian banjir berulang yang semakin membimbangkan di negeri itu.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan secara telus dan berkesan, melibatkan aspek kos, jadual kerja serta impak sebenar kepada rakyat.

“Isu banjir di Selangor bukan lagi perkara kecil, sebaliknya semakin kritikal dan perlu diberi perhatian serius selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi penyerahan memorandum kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang diterima pegawainya di pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Menurutnya, audit forensik menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan projek sedia ada serta mengelakkan pembaziran dana awam.

Selain itu katanya, kerajaan negeri perlu menjalankan semakan menyeluruh terhadap syarikat yang dilantik bagi memastikan hanya kontraktor berkelayakan dan berpengalaman diberikan tanggungjawab.

“Syarikat yang gagal atau tidak mempunyai keupayaan teknikal perlu disenaraihitamkan segera bagi menjamin keberkesanan projek,” jelas Ustaz Sukri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam.

Tambah beliau, pelan induk pengurusan banjir yang lebih menyeluruh dan berasaskan amalan terbaik antarabangsa juga perlu dibangunkan sebagai panduan jangka panjang.

“Dalam pada itu, kawasan berisiko tinggi atau _‘hotspot’_ banjir perlu diberi keutamaan dengan tindakan segera serta pemantauan berkala yang lebih telus,” ujarnya.

Sukri turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama teknikal dengan negara yang berjaya mengurus banjir bagi memastikan pendekatan diambil tidak sekadar bersifat teori.

“Kerajaan negeri juga perlu memastikan akauntabiliti dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal menyelia sistem amaran awal serta infrastruktur kritikal sehingga menyebabkan kerugian kepada rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan titah Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.

“Kami mendesak kerajaan negeri berhenti mengambil sikap ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ terhadap titah tersebut,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, rakyat kini menuntut penyelesaian tuntas, bukan lagi alasan berulang berkaitan faktor teknikal atau cuaca.

Sehubungan itu, beliau menggesa audit forensik dilaksanakan segera dan hasilnya dibentangkan kepada umum selewat-lewatnya Jun 2026.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.

Baginda berkata, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor pada Isnin lalu. – HARAKAHDAILY 29/4/2026

- Advertisement -