
KUALA LUMPUR: Kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh diminta menyatakan implikasi kewangan khususnya kesan logistik terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) atas penganjuran ‘3 Days Water Musical Festival’.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Sukri Omar berkata, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijangka menanggung beban kerja pembersihan selepas acara tersebut.
“Penganjuran berskala besar ini sudah tentu melibatkan kos yang signifikan, termasuk pembaziran air secara tidak wajar serta risiko kerosakan infrastruktur awam sekiranya pengunjung tidak dapat dikawal dengan baik,” katanya.
Di samping itu, beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mempersoalkan sama ada kos berkaitan penganjuran dan impak selepas acara akan ditanggung oleh dana awam.
“Siapa yang akan menanggung kos ini semua? Adakah dari kantung duit rakyat?” soalnya terhadap penganjuran dikatakan sempena Hari Pekerja serta kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Bukit Bintang bermula esok hingga 2 Mei tersebut.
Pemuda PAS tegas beliau, konsisten membantah penganjuran program berkenaan sejak akhir Januari lalu, sejurus ia diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Sri Tiong King Sing.
Kata Ustaz Sukri, walaupun usaha memajukan sektor pelancongan negara disokong, namun ia tidak boleh dilaksanakan dengan pendekatan yang mengabaikan nilai budaya, agama dan sensitiviti masyarakat tempatan.
“Program yang mahu dianjurkan langsung tidak mencerminkan identiti negara dan budaya Malaysia yang sopan serta beradab,” katanya turut mempersoalkan kewajaran penganjuran berkonsepkan hiburan air terbuka dengan elemen percampuran bebas di ruang awam, yang menurutnya tidak selari dengan norma masyarakat setempat.
Jelasnya, Malaysia selaku negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu memastikan setiap penganjuran acara awam mengambil kira aspek sensitiviti agama, budaya dan nilai kekeluargaan.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya mendesak pihak penganjur agar membatalkan penganjuran ‘3 Days Water Musical Festival’ tersebut dan menggantikannya dengan program yang lebih sesuai dengan nilai tempatan.
Menurutnya, kempen VM2026 sepatutnya menjadi platform mempamerkan keunikan negara seperti kepelbagaian budaya, warisan, makanan tradisional serta keharmonian masyarakat, bukan mengangkat konsep hiburan jalanan yang bersifat generik dan tidak mencerminkan jati diri Malaysia.
Beliau berkata pendekatan pelancongan negara perlu dibina berasaskan identiti tempatan dan bukannya meniru model hiburan luar yang tidak mengambil kira konteks sosial masyarakat Malaysia.
VM2026 yang disasarkan MOTAC untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan utama serantau dan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa bagaimanapun dilihat membawa penganjuran tidak melambangkan identiti Malaysia.
Penganjuran acara berskala besar dikatakan sebagai promosi pelancongan bandar mensasarka Kuala Lumpur khususnya Bukit Bintang sebagai lokasi acara hiburan dan festival jalanan.
Namun, pendekatan mencetuskan perdebatan apabila melibatkan penganjuran acara terbuka yang dikatakan kurang selari dengan norma budaya, sensitiviti agama dan kesesuaian ruang awam. – HARAKAHDAILY 29/4/2026











