
SHAH ALAM: PAS Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan kandungan berbentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi imej telah disunting dan tular di media sosial.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja melampaui batas adab serta kesopanan, malah turut mencabar institusi Raja yang menjadi tonggak kestabilan dan keharmonian negeri serta negara.
“Tindakan sedemikian tidak boleh dipandang ringan dan wajib ditangani dengan tegas,” katanya dengan turut menegaskan PAS Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba merosakkan keharmonian masyarakat melalui perbuatan menghina institusi diraja.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mendesak pihak berkuasa supaya segera menjalankan siasatan tanpa sebarang kelewatan serta memastikan individu terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Sebarang kelewatan hanya akan memberi ruang kepada budaya penghinaan ini terus berleluasa,” katanya turut menambah, institusi diraja perlu terus dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak tanpa pengecualian kerana ia merupakan asas penting kepada kestabilan negara.
Dalam pada itu, Dr Ab Halim turut mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak mudah menyebarkan sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya.
“Institusi diraja mesti dihormati dan dipertahankan. Tiada kompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan,” tegas beliau yang juga bekas Rektor Kolej Universiti Islam Antarangsa Selangor (KUIS).
Sementara itu, siasatan sedang dijalankan terhadap satu hantaran gambar yang tular di media massa berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor yang dimuat naik melalui akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre pada 25 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, pemilik atau pentadbir akaun berkenaan telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk tindakan merampas peranti yang digunakan bagi memuat naik hantaran tersebut.
“Proses siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











