
KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat menggesa kerajaan melaksanakan transformasi menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara bagi mengatasi kegagalan tadbir urus sistemik yang kini menjejaskan rantaian tenaga kerja dan kualiti perkhidmatan perubatan awam.
Pengerusinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta keberanian Ketua Pengarah Kesihatan dalam menzahirkan realiti kegagalan struktur yang dihadapi sektor berkenaan ketika ini.
Beliau menegaskan, isu utama yang melanda bukan sekadar kekurangan tenaga kerja, tetapi berpunca daripada fragmentasi antara kementerian dan agensi yang tidak mempunyai penyelarasan menyeluruh.
“Apa yang dibangkitkan bukan isu baharu, tetapi hakikat di lapangan yang telah lama dirasai oleh petugas kesihatan dan rakyat. Kenyataan ini menegaskan bahawa masalah yang dihadapi adalah kegagalan tadbir urus menyeluruh, bukan sekadar kekurangan tenaga kerja atau isu operasi semata-mata.
“PAS bersetuju bahawa fragmentasi antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam, dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewujudkan rantaian tenaga kerja yang tidak selari dari peringkat latihan hingga penempatan,” katanya.
Isu ini memuncak susulan laporan mengenai kelewatan penempatan graduan perubatan, kesesakan melampau di hospital kerajaan, serta beban kerja luar biasa yang ditanggung petugas kesihatan sedia ada.
MMA sebelum ini mendedahkan wujudnya kebuntuan dalam koordinasi antara agensi kerajaan sehingga menyebabkan rantaian bekalan tenaga pakar dan pegawai perubatan terganggu.
Hal ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai ‘penghijrahan pakar’ ke sektor swasta dan luar negara, selain menjejaskan tempoh menunggu pesakit bagi mendapatkan rawatan kritikal.
Dr Ahmad Yunus berkata, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan adalah langkah kritikal yang perlu segera dilaksanakan sebagai badan berautoriti untuk menyelaraskan keseluruhan rantaian tenaga kerja.
“Namun ditegaskan bahawa Suruhanjaya ini bukan sekadar penyusunan semula pentadbiran, sebaliknya mesti menjadi pemangkin kepada transformasi sistem kesihatan negara secara menyeluruh.
“Reformasi tidak boleh dibuat secara separa. Masalah yang kompleks memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan reaksi spontan,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
PAS turut menggariskan empat teras utama transformasi yang perlu dilaksanakan, merangkumi reformasi pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional berasaskan takaful, pengukuhan fasiliti awam, pembaharuan sumber manusia, serta pemerkasaan sektor swasta secara seimbang.
“Malaysia bukan sekadar berdepan kekurangan tenaga kesihatan, Malaysia sedang berdepan kegagalan tadbir urus sistem kesihatan secara menyeluruh.
“Kepimpinan negara perlu menyatukan semua agensi berkaitan di bawah satu mandat jelas. Suruhanjaya diberikan kuasa sebenar, bukan simbolik, dan pelaksanaan dibuat dengan garis masa tegas dan akauntabiliti jelas,” tegasnya.
Beliau menambah, setiap kelewatan dalam melaksanakan perubahan ini hanya akan terus memberi kesan buruk kepada graduan yang tertangguh, petugas yang terbeban, dan akhirnya pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. – HARAKAHDAILY 26/4/2026











