
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dituntut agar menghormati semangat federalisme dengan menyalurkan bayaran tunai hasil petroleum atau royalti secara terus kepada akaun kerajaan negeri serta mengagihkan peruntukan Parlimen secara adil tanpa sebarang halangan politik.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan bahawa pendirian Terengganu dan Kelantan dalam menuntut hak tersebut adalah berpedomankan kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) serta Perjanjian Penyerahan Hak 1975 yang telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan PETRONAS.
Beliau berkata, secara nas undang-undang yang jelas, pembayaran tunai tahunan sebanyak lima peratus melalui Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hendaklah dibuat terus kepada kerajaan negeri, bukannya melalui mekanisme lain yang menyulitkan.
“Secara nas undang-undang yang jelas, Seksyen 4 Akta 144 dan Klausa 1(1) Perjanjian Penyerahan Hak 1975 menetapkan bahawa pembayaran tunai tahunan sebanyak 5 peratus hendaklah dibuat terus kepada Kerajaan Negeri.
“Adapun ‘kitab’ Manifesto Pakatan Harapan tidaklah menjadi rujukan di pihak kami. Dalam hal ini, saranan YAB Menteri Besar Terengganu dan Kelantan wajar diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim sebelum ini menyatakan royalti petroleum dijadikan modal politik murahan selain mendakwa mekanisme pembayaran adalah kekal sama sejak dahulu.
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) membuktikan terdapat gangguan dalam penyaluran dana tersebut yang kini tidak lagi dibayar terus ke akaun negeri, sebaliknya melalui mekanisme yang dikawal oleh Kerajaan Pusat.
Isu ini turut berkait rapat dengan tuntutan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) bagi Ahli Parlimen pembangkang yang sehingga kini masih belum dimuktamadkan.
Syahir berkata, usaha untuk memurnikan tafsiran had tiga batu nautika selaras dengan Akta Wilayah Laut 2012 sebenarnya telah mencapai peringkat akhir di bawah pentadbiran terdahulu, namun tergendala akibat pembubaran Parlimen pada Oktober 2022.
Beliau turut membidas kebimbangan kononnya wujud risiko ketirisan di peringkat negeri dengan menegaskan bahawa setiap perbelanjaan tertakluk kepada audit terbuka dan prosedur kewangan yang ketat.
“Setiap wang yang diterima dan dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada tatakelola pengurusan kewangan serta proses audit yang terbuka.
“Malah setiap butiran hasil dan perbelanjaan akan dimasukkan dalam Belanjawan Tahunan Negeri, dibentang dan dibahaskan dalam Sidang DUN untuk diluluskan, serta dibelanjakan mengikut prosedur serta pekeliling kewangan yang ditetapkan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai isu peruntukan Parlimen pembangkang yang masih terhalang, sedangkan permintaan rakyat melibatkan kebajikan dan projek mesra rakyat diterima setiap hari.
“Sewajarnya, peruntukan sebegini disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan Parlimen, tanpa mengira perbezaan politik. Justeru demi menghormati semangat federalisme.
“Pertama, salurkan royalti petroleum terus kepada Kerajaan Negeri dan kedua agihkan peruntukan Parlimen secara adil dan saksama; seumpama laluan Selat Melaka yang tidak terhalang, tidak diganggu gugat dengan pelbagai syarat dan halangan,” tegasnya.
Beliau menambah, pengagihan sumber yang adil adalah kritikal bagi merapatkan jurang ekonomi wilayah yang diwarisi sejak merdeka dan langkah diplomasi yang diamalkan oleh Menteri Besar Terengganu serta Kelantan seharusnya disambut baik oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kami tidak membina tembok, tetapi kami membuka pintu seluasnya,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS. – HARAKAHDAILY 26/4/2026











