Jangan asnaf jadi mangsa kegagalan pengurusan zakat

Kontroversi zakat Perlis: PAS desak audit forensik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar satu siasatan menyeluruh dan audit forensik dilaksanakan segera bagi menangani kontroversi pengurusan dana zakat di Perlis yang kini mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang dakwaan penyelewengan atau salah urus dana yang melibatkan agensi rasmi mahupun individu pihak ketiga tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan amanah suci umat Islam.

Beliau menegaskan, kegagalan menangani isu integriti ini secara tegas hanya akan mengakibatkan golongan asnaf menjadi mangsa utama berikutan kemerosotan keyakinan pembayar zakat terhadap institusi berkenaan.

“PAS memandang serius kontroversi berhubung pengurusan dana zakat di negeri Perlis yang kini menimbulkan kebimbangan meluas masyarakat, selain mendapat perhatian nasional.

“Zakat adalah amanah suci yang merupakan tanggungjawab pembayar yang diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi manfaat golongan asnaf serta mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Isu ini berbangkit susulan laporan mengenai ketidakselarasan dalam pengagihan dan pengurusan dana zakat di Perlis yang melibatkan dakwaan campur tangan serta kelemahan tadbir urus.

Kontroversi ini menjadi semakin rumit apabila wujud percanggahan kenyataan antara pelbagai pihak berkuasa agama termasuk Pejabat Mufti Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ia berhubung bidang kuasa dan akauntabiliti institusi masing-masing di mana situasi ini telah mengundang perhatian pihak berkuasa bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa atau ketirisan dalam aliran dana tersebut.

Takiyuddin berkata, kontroversi itu mendedahkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dalam sistem pemantauan dan pengagihan dana yang memerlukan penjelasan meyakinkan daripada kerajaan negeri.

“Berdasarkan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh banyak pihak, termasuk Pejabat Mufti Negeri, MAIPs dan JAKIM, wujud percanggahan dan kekeliruan dari sudut bidang kuasa dan kuat kuasa undang-undang serta akauntabiliti institusi.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat.

“Kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat. Jika keyakinan merosot atau runtuh, maka mangsa akhirnya ialah golongan miskin dan memerlukan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Sehubungan itu, PAS menggariskan beberapa langkah segera termasuk melaksanakan reformasi institusi yang lebih luas bagi memperkukuh sistem pematuhan dan struktur tadbir urus dana zakat.

“PAS percaya isu ini tidak wajar dipolitikkan, namun ia juga tidak boleh ‘disapu ke bawah karpet’. Masyarakat awam berkehendakkan akauntabiliti, sementara Islam pula menuntut tahap amanah yang lebih tinggi.

“Kontroversi ini seharusnya menjadi titik perubahan untuk memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan institusi zakat di Malaysia diurus mengikut piawaian tertinggi dari segi integriti, profesionalisme dan ihsan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar laporan tahunan serta pendedahan prestasi terbuka dijadikan amalan standard bagi memastikan pembayar zakat mengetahui secara pasti bagaimana dana mereka diuruskan mengikut lunas perundangan yang sah. – HARAKAHDAILY 26/4/2026

- Advertisement -