Negeri duit banyak tetapi adakah hidup rakyat sejahtera?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Selangor bukan sahaja memperoleh hasil negeri melebihi RM3 bilion, bahkan memiliki rizab hampir RM5 bilion dan menerima pelaburan lebih RM80 bilion serta penciptaan lebih 60,000 peluang pekerjaan.

Ustaz Nushi Dato’ Mahfodz (PN–Semenyih) bagaimanapun memuhasabahkan pentadbiran kerajaan negeri untuk melihat sejauh mana kejayaan pencapaian tersebut telah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat

- Advertisement -

“Semakin tinggi kejayaan, semakin besar harapan (rakyat). Persoalannya, adakah pencapaian ini benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat di lapangan?” ujarnya dalam perbahasan Titah Diraja.

Beliau menyuarakan isu banjir berulang, kesesakan lalu lintas, pengurusan sampah serta kelemahan tadbir urus pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian banjir yang kerap melanda kawasan seperti Taman Semenyih Indah, Taman Semenyih Permata dan Kampung Rinching Hulu tidak lagi boleh dilihat sebagai bencana semata-mata, sebaliknya mencerminkan kelemahan pengurusan.

“Penduduk terpaksa berulang kali memindahkan barangan setiap kali hujan, termasuk warga emas dan golongan kurang upaya yang paling terkesan.

“Di Kampung Rinching dan Kampung Sungai Kembung pula, keadaan sungai yang semakin cetek serta berlakunya ‘bottle neck’ meningkatkan risiko limpahan air dan pencemaran,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kelewatan tindak balas pihak berkuasa tempatan, selain kemungkinan punca daripada sistem saliran yang tidak diselenggara, kolam takungan tersumbat dan pembangunan tidak terkawal.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri menjelaskan sama ada kajian semula terhadap rizab sungai serta penilaian hidrologi dilaksanakan bagi setiap projek pembangunan baharu.

Ustaz Nushi juga turut mencadangkan pendekatan lebih mampan seperti diamalkan di Belanda yang memberi ruang kepada sungai untuk mengawal banjir secara semula jadi.

Turut diketengahkan Ustaz Nushi adalah masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius akibat pembangunan pesat, khususnya melibatkan laluan Bangi Lama ke Kampung Sungai Purun serta jalan Persekutuan Beranang–Semenyih–Kajang.

“Keadaan jalan berlubang dan lampu jalan yang tidak berfungsi di beberapa kawasan seperti Bandar Tasik Kesuma dan Bandar Rinching turut mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu pengurusan sampah yang tidak konsisten masih membelenggu penduduk, termasuk di kawasan kampung, malah terdapat kes penduduk terpaksa membuang sampah ke negeri jiran akibat kelemahan sistem kutipan.

Turut diketengahkannya ialah masalah anjing liar yang semakin membimbangkan apabila lebih 10,000 aduan direkodkan dalam tempoh lima tahun, namun tindakan diambil dilihat masih tidak mencukupi.

Menyentuh sektor pendidikan, beliau memaklumkan beberapa sekolah menengah di Semenyih kini melebihi kapasiti, termasuk sebuah sekolah yang menampung lebih 4,000 pelajar.

Beliau turut membangkitkan isu projek sekolah yang terbengkalai dan memohon campur tangan pihak berkaitan bagi mempercepatkan penyelesaiannya.

“Selain itu, perhatian juga diminta terhadap sekolah agama dan maahad tahfiz yang semakin mendapat sambutan tetapi berdepan kekangan kapasiti,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat.

Menyentuh isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Pening bagi projek jalan baharu, beliau kesal kerana kurang melibatkan rundingan dengan penduduk setempat, sambil menegaskan kepentingan libat urus bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan penguatkuasaan melibatkan kilang haram, lori muatan berlebihan serta wujudnya unsur rasuah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat kini bukan sahaja menilai pencapaian berdasarkan angka, tetapi menuntut hasil pembangunan yang benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian.

“Kita tidak boleh hanya berbangga dengan angka, tetapi perlu memastikan kesejahteraan, kelegaan dan kebahagiaan rakyat benar-benar tercapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -