Pesawah di Sabak Bernam kerugian, amat perlu dibantu

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pesawah padi hakikatnya menjadi tunjang sekuriti makanan negara, namun kini sedang berhadapan kesan langsung kenaikan harga minyak, kemuka Ustaz Mohd Razali Saari (PN–Sungai Panjang).

- Advertisement -

Beliau menegaskan demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

“Realiti di lapangan menunjukkan bahawa para petani kini sedang berdepan dengan tekanan kos yang tinggi sehingga terpaksa menanggung kerugian hampir setiap musim penanaman padi.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) penanaman padi, kos keseluruhan bagi satu kitaran tanaman merangkumi perbelanjaan membajak, meracun, menanam, menyulam, membaja dan menuai boleh mencecah lebih RM10,000.

“Namun, jika hasil lima tan diperoleh dengan harga RM1,500 satu tan, pendapatan hanya sekitar RM7,500, sekali gus tidak mampu menampung kos keseluruhan,” jelasnya beliau.

Tambah Ustaz Mohd Razali, keadaan ini menggambarkan petani sebenarnya sedang membiayai sekuriti makanan negara dengan keringat dan kerugian sendiri, selain terpaksa berhutang setiap musim.

Sehubungan itu, beliau menolak persepsi bahawa petani hidup senang hasil subsidi, sebaliknya menyifatkan tanggapan tersebut sebagai mitos yang perlu diperbetulkan berdasarkan realiti sebenar dihadapi golongan itu.

Katanya, antara punca utama tekanan ialah ketidakseimbangan struktur pasaran, termasuk kenaikan kos input pertanian seperti baja dan racun yang tidak terkawal, sedangkan harga jualan padi kekal dikawal pada kadar RM1,500 satu tan.

“Selain itu, isu monopoli jentera pertanian turut dibangkitkan, termasuk kos tinggi penggunaan traktor serta kekurangan jentera menuai yang memberi kesan kepada pesawah di kawasan seperti Sabak Bernam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Razali mengemukakan beberapa cadangan, antaranya semakan semula skim subsidi harga padi, kenaikan harga lantai padi, kawalan harga input pertanian dan peluasan mekanisasi.

Beliau turut mencadangkan penyediaan bantuan khas ketika bencana atau serangan penyakit tanaman, selain pelaksanaan sistem pemutuan digital yang lebih telus di pusat pengumpulan padi.

Turut disentuhnya dalam perbahasan itu adalah isu berkaitan tanah dan hutan simpan di DUN Sungai Panjang, khususnya melibatkan tuntutan hak milik tanah oleh penduduk di Parit 5 hingga Parit 8 yang masih belum diselesaikan walaupun telah berlarutan selama puluhan tahun.

Menurut Mohd Razali, penduduk di kawasan itu terus berdepan ketidakpastian berikutan proses yang berlarutan antara agensi berkaitan, meskipun kawasan berkenaan kini melibatkan kerjasama dengan koperasi negeri.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung status urus niaga, penilaian harga serta pematuhan prosedur melibatkan tanah hutan simpan, di samping membangkitkan isu pemindahan peneroka asal Kampung Baru Telok Gong.

Terdahulu beliau mengulangi ingatan kepada Ahli Dewan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor 2026 pada Isnin lali.

Beliau menegaskan bahawa titah tersebut merupakan peringatan penting kepada kepimpinan negeri agar kembali mengamalkan tadbir urus yang amanah, adil dan berhemah selaras dengan tuntutan Islam.

Menurutnya, penekanan baginda supaya kerajaan negeri bersedia menghadapi cabaran ekonomi global, mengelakkan pembaziran serta mengutamakan perbelanjaan kepada keperluan asas rakyat amat bertepatan dengan keadaan semasa yang semakin membebankan.

“Dalam masa yang sama, titah supaya tindakan pantas dan tegas diambil tanpa kompromi dalam isu melibatkan agama, kaum dan institusi raja juga disifatkan sebagai jelas dan wajar diberi perhatian serius,” katanya

Justeru, Mohd Razali mempersoalkan komitmen kerajaan negeri dalam mematuhi titah Sultan Selangor, termasuk tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah menyalahgunakan titah baginda bagi tujuan tertentu.

“Sekiranya titah ini tiada tarikh luput, maka semua titah terdahulu juga perlu dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan kerajaan dilabel sebagai derhaka,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -