Masalah sistemik jadi punca alami pelbagai kerugian

Kelemahan tadbir urus Kerajaan Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Statistik kerugian akibat banjir di negeri ini meningkat kepada kira-kira RM22.6 juta pada 2025 berbanding RM13.9 juta pada tahun sebelumnya, melibatkan kerosakan infrastruktur, kediaman, pertanian dan kenderaan.

- Advertisement -

Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh (PN–Sementa) malah menyenaraikan beberapa kawasan bandar raya sekitar Klang dan Shah Alam termasuk Bukit Raja, Seksyen 13 dan i-City, juga dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dalam tempoh singkat pada 20 April terbaharu.

“Kejadian pada 16 April lalu di Bukit Payung serta Bukit Kapar yang turut dilanda banjir kilat walaupun kawasan berkenaan merupakan kawasan berbukit,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Titah Sultan Selangor pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor Ke-15, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air di beberapa stesen telah melepasi tahap amaran dan bahaya, dengan sistem amaran banjir telah diaktifkan.

Situasi tersebut bahas Ustaz Noor Najhan, jelas menunjukkan sistem saliran sedia ada masih belum mampu menampung hujan berintensiti tinggi walaupun dalam tempoh singkat.

“Semasa Monsun Timur Laut November 2025 pula, seramai 4,463 mangsa direkodkan terjejas dengan 33 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di beberapa kawasan termasuk Taman Seri Muda, Sementa, Semenyih dan Ijok,” ujarnya.

Selain isu banjir, beliau turut memberi perhatian terhadap pelaksanaan 13 projek tebatan banjir di daerah Klang yang bernilai sekitar RM493 juta termasuk di Taman Sungai Kapar Indah dan Batu 7 Jalan Kapar di bawah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Projek berkenaan hanya mencapai sekitar 25 peratus kemajuan setakat 25 Mac, walaupun papan tanda menyatakan tarikh siap 29 Mac 2026. Situasi itu menimbulkan persoalan berhubung punca kelewatan sama ada melibatkan kontraktor, perunding atau pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa persoalan kepada kerajaan negeri termasuk mekanisme pemantauan penyelenggaraan sistem saliran oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Termasuk persoalnya, indikator prestasi utama (KPI) kerja penyelenggaraan dan pengurangan risiko banjir, tindakan terhadap agensi yang gagal mencapai KPI serta langkah penambahbaikan bagi memastikan sistem pam kawalan banjir berfungsi dengan baik.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kilang tanpa kebenaran (KTK) apabila sebanyak 4,170 premis direkodkan di Selangor, namun hanya 19 premis disahkan untuk tindakan perobohan.

“Di kawasan DUN berkenaan pula, daripada 694 premis kilang yang direkodkan, hanya sekitar 10 peratus mempunyai kebenaran merancang, manakala selebihnya dikatakan beroperasi tanpa kelulusan lengkap,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai masalah sistemik dalam penguatkuasaan dan perancangan pembangunan industri, termasuk di kawasan tanah pertanian yang telah bertukar menjadi kawasan industri tanpa kelulusan sah.

“Walaupun tempoh pemutihan KTK dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027, masih terdapat pembinaan kilang baharu yang tidak jelas status kelulusannya. Kejadian kebakaran sebuah KTK di Batu 9½ Jalan Kapar pada 9 Mac lalu turut menimbulkan kebimbangan keselamatan.

“Operasi pemadaman api oleh pihak bomba juga berdepan kesukaran apabila sistem pili bomba dilaporkan tidak berfungsi dengan baik akibat tekanan air rendah atau tiada bekalan air, sekali gus memaksa penggunaan lori tangki air,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tahap penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran serta tanggungjawab pihak berkaitan dalam memastikan infrastruktur kritikal berfungsi dengan baik.

Ustaz Noor Najhan turut membangkitkan isu kebersihan apabila perkhidmatan kutipan sampah dikatakan tidak mengikut jadual secara konsisten, sekali gus menjejaskan keselesaan penduduk.

Dengan itu, beliau mencadangkan supaya maklumat kontraktor dipaparkan di kawasan perumahan bagi memudahkan aduan awam terutama berhubung penggunaan laluan tidak ditetapkan oleh lori sampah dan kenderaan berat.

Menurutnya, di kawasan seperti Jalan Bukit Kerayong dan Jalan Abdul Wahid berlaku kejadian tumpahan cecair yang menyebabkan jalan licin dan mengakibatkan beberapa kemalangan kecil melibatkan pengguna motosikal.

Dalam pada itu, Noor Najhan turut mempersoalkan kekangan peruntukan yang menyebabkan kerja pembaikan tertangguh hingga di beberapa lokasi, mendapan jalan telah dikesan antaranya Jalan Abdul Latif dan Jalan Kapar.

“Selain itu, kelewatan projek pembinaan semula dewan orang ramai yang terletak di Bukit Kapar yang bermula pada 11 Oktober 2023 dengan tarikh siap asal 7 Oktober 2025, namun masih belum disiapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kegagalan menangani isu asas seperti banjir, projek lewat siap, kilang tanpa kebenaran serta masalah infrastruktur akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -