Ucapan ADUN DAP Siew Ki dianggap derhaka titah Sultan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PUTRA mengecam keras kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang menyamakan industri penternakan babi dengan haiwan ternakan lain dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, semalam.

Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif menyifatkan ucapan tersebut sebagai satu tindakan menderhaka kepada institusi beraja serta tidak menghormati titah Sultan Selangor yang telah menegaskan larangan terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa sebagai rakyat Malaysia, setiap individu perlu menjunjung prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dengan menghormati kedudukan Islam dan institusi Raja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak dan kebebasan mesti selaras dengan asas Perlembagaan. Dalam Perlembagaan tidak ada konsep ‘sama rata’ mutlak, yang ada ialah kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan keistimewaan yang dijamin,” katanya.

Pertikaian ini tercetus susulan perbahasan Titah Diraja semasa persidangan Dewan Negeri Selangor, semalam apabila wakil rakyat DAP tersebut dilaporkan menyentuh mengenai isu industri penternakan di Selangor.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang merujuk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini pernah menyatakan ketegasan baginda menyentuh mengenai aktiviti penternakan babi.

Titah baginda, tiada lagi aktiviti penternakan haiwan itu dibenarkan secara terbuka atau berskala besar di kawasan tertentu bagi menjaga sensitiviti masyarakat serta kelestarian alam sekitar di negeri Selangor.

Shahrulufti berkata, tindakan menyamakan haiwan berkenaan dengan ternakan lain adalah satu penghinaan terhadap prinsip Islam dan sensitiviti masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

“Babi tidak sama dengan haiwan lain. Menyamakan penternakan babi dengan ternakan halal adalah penghinaan terhadap prinsip Islam dan sensitiviti masyarakat Melayu-Islam.

“PUTRA menuntut Wong Siew Ki menarik balik ucapan nya di Dewan Undangan dan memohon ampun dari DYMM Sultan Selangor dan umat Islam seluruh negara. Polis juga di gesa menyiasat ADUN ini kerana melangar 3R.

“Tidak ada kebebasan bercakap yg menghina Titah Sultan secara terbuka walaupun dalam Dewan. Jika berani, PUTRA cabar ulangilah kenyataan itu di luar Dewan dan tunggulah natijahnya,” tegas beliau.

Selain itu, PUTRA turut mendesak agar Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas terhadap isu tersebut bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak terus dicabar.

“PUTRA menanti tindakan Kerajaan Madani Negeri Selangor bertindak tegas. Jangan biarkan ucapan biadab dan kurang ajar ini mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan merendahkan Titah Sultan.

“PUTRA berdiri teguh mempertahankan Islam, institusi Raja, dan asas Perlembagaan. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengangkat isu penternakan babi sebagai agenda politik.

“Apatah lagi dengan cara yang menghina agama Islam dan menderhaka kepada Raja. Kalau nak ternak babi bolih berambus ke negara yg benar ternakan babi,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -