DAP jangan biadab, jangan derhaka!

- Advertisement -

JIRAN kita Republik Indonesia mengabsahkan penghakiman juga, selain daripada legislatif menjadi undang-undang bagi negara mereka. Brunei Darussalam pula mengabsahkan monarki mutlak dan titah Sultan Brunei menjadi pedoman hukum dan dasar negara yang wajib dipatuhi semua rakyat jelata. Walaupun wujud perdebatan, Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen dengan mengabsahkan Raja Berperlembagaan dilihat tidak berjalan selari demokrasi berperlembagaan seperti yang diamalkan di United Kingdom atau Bharat Ganarayja aka the Republic of India.

Tentunya ada yang berpandangan berbeza, namun hujah itulah yang dikongsikan ramai pakar perlembagaan tempatan dan sejumlah pengamal perundangan senior bahawa terkait Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.

Di Negeri Sembilan melihat kepada kemelut yang sedang mengambil tempat seperti yang dilaporkan semalam bahawa Ketua Polis Negeri, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mencampuri urusan agama dan adat resam di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

- Advertisement -

Ada yang melihat perkembangan tersebut sebagai bukti jelas sumpah setia antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang berwahdat ‘Rakyat tidak boleh derhaka, dan Raja tidak boleh menzalimi rakyat’.

Tan Sri Dr Rais Yatim pernah bersyarah bahawa ‘Sumpah setia diraja antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba antaranya tidak derhaka kepada raja, tidak menghukum rakyat secara zalim dan menghina, jika menghina zalim menghina ada balasannya, pantang Melayu derhaka kecuali raja nan zalim’.

Maka tentunya kita sebagai rakyat Malaysia terkejut dan sedih apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah berdukacita apabila masih terdapat pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah baginda berhubung penternakan babi di negeri Selangor.

“Baru-baru ini, beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah beta,” titah baginda sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Namun mengapakah agaknya, sesudah ditegur Sultan Selangor, sekali lagi DAP cuba mengetengahkan bantahan dengan menyanggah penegasan isu pencemaran dan aspek kebersihan yang ditekankan Sultan Selangor?

Memetik Kosmo, ADUN DAP, berhujah bahawa penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain kerana haiwan lain juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.

Perkembangan ini amatlah malang malah dilihat seolah-oleh DAP masih mahu ‘bertikam-lidah’ dengan pihak istana. Malah ada yang melihat ianya sebagai satu tindakan biadab. Dan mungkin sesetengah pihak akan melihat isu ini sebagai derhaka.

Ketua Pemuda PAS Selangor menegaskan isu pokok ialah titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah jelas bahawa tiada penternakan babi di Selangor, dan keperluan bekalan hendaklah dipenuhi melalui import.

Dalam sebuah negeri yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, setiap wakil rakyat sepatutnya memahami bahawa kebebasan berhujah di Dewan bukan lesen untuk membangkitkan semula perkara yang telah dimuktamadkan pada peringkat tertinggi negeri.

DAP sama seperti semua lapisan masyarakat sepatutnya berhenti bermain sentimen hasutan kebencian seperti yang pernah dibuat semasa mereka di blok pembangkang. DAP kini adalah parti kerajaan. Mereka tidak seharusnya mengguna-pakai retorik pecah-belah atau menghina sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Malaysia mengamalkan apartheid kepada etnik Cina contohnya seperti yang dibuat seorang wartawan sebuah portal.

Momokan kebencian seperti ‘Malaysia negara bankrap!’, ‘Malaysia bakal berakhir (huru-hara) seperti Sri Lanka’ atau ‘Malaysia has gone to the dogs’ seperti yang sering dijaja DAP contohnya, harus dihentikan dan DAP kini mempunyai kuasa untuk menambah-baik segala kebobrokkan itu.

Hakikatnya ribuan rakyat di seluruh negara sengsara dengan pencemaran sungai dan alam sekitar ladang-ladang babi. NGO alam sekitar juga berpandangan serupa. Malah keterjaminan tiada pencemaran dengan system kendang babi tertutup dan sisa sifar juga masih diragui keberkesanannya.

Natijahnya Ketua Pemuda PAS Selangor mahu ADUN DAP tersebut digantung selama 12 bulan. Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor pula mahu ADUN DAP tersebut untuk keluar meninggalkan Selangor jika tidak mahu akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hakikatnya, walaupun belum ada kenyataan rasmi Istana Selangor terkait isu terbaru, Sultan Selangor pernah menyatakan kemurkaan secara terbuka kepada seorang tokoh politik tempatan yang bermastautin malah bertanding dalam negeri Selangor beberapa tahun lampau.

Malah baginda Sultan Selangor juga pernah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri berikutan tindakan dan perlakuan tokoh tersebut yang mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dan Institusi Raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor dan hal berkaitan isu agama Islam yang Sultan mempunyai kuasa eksekutif serta sebagai Ketua Agama.

Di bawah dikongsikan secara ringkas terjemahan daripada Bahasa Melayu Tua, Inskripsi Telaga Batu, Palembang, Sumatera Selatan sekitar 683 Masihi telah mengabadikan tradisi sumpah taat setia seluruh lapisan warga sebuah kedatuan Sriwijaya, 1300 tahun lampau wajar menjadi teladan dan sempadan kepada kita semua khasnya kepada mana-mana susuk pengkhianat dan penderhaka di mana pun anda semua berada.

“Kamu semua, anak-anak raja, para menteri, para pembesar wilayah, panglima-panglima, tuan-tuan, para bangsawan, para wakil raja, para hakim, … murddhaka, ketua para pekerja, para penyelia, rakyat jelata, pakar senjata, para menteri, para tentera, para pekerja pembinaan, karmma…, para jurutulis, para arkitek, para nakhoda, para pedagang, para kapten, wahai para hamba raja, hamba sahaya raja, seluruh rakyat sekalian, akan dibinasakan oleh sumpah ini sekiranya kamu tidak setia kepadaku.”

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’HARAKAHDAILY 23/4/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -