Saudi benarkan 6 kategori kemasukan ke Makkah

- Advertisement -

MAKKAH: Direktorat Jeneral Pasport Arab Saudi telah mengumumkan bahawa enam kategori individu yang layak boleh mendapatkan permit untuk memasuki Mekah semasa musim Haji melalui platform Absher Individuals.

Dalam kenyataannya, kategori tersebut termasuk pemegang Residensi Premium, pelabur, warganegara Majlis Kerjasama Teluk/GCC (Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait), ibu bukan warganegara Saudi kepada warganegara Saudi, ahli keluarga bukan Saudi dan pekerja domestik.

- Advertisement -

“Perkhidmatan ini (platform Absher Individuals) membolehkan pemohon mendapatkan permit masuk secara elektronik melalui proses yang dipermudahkan,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, langkah tersebut diambil susulan pihak berkuasa keselamatan Saudi menguatkuasakan peraturan ketat yang mengawal akses ke Makkah dan tempat-tempat suci semasa musim Haji pada tahun ini.

Terdahulu, sejak 19 April 2026, penduduk tanpa permit telah dihalang daripada masuk ke Makkah, dengan kemasukan terhad dibenarkan kepada individu yang memegang permit kerja, yang mempunyai kediaman di siitu, atau memiliki permit Haji rasmi.

Keselamatan Awam Saudi berkata, permit masuk untuk pekerja ekspatriat pula dikeluarkan secara elektronik melalui Absher dan portal Muqeem, yang disepadukan dengan platform permit Haji bersepadu, Tasreeh.

Pihak berkuasa Saudi juga mengesahkan bahawa permohonan diproses sepenuhnya dalam talian, tanpa keperluan untuk melawat pejabat pasport secara peribadi. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -