
IPOH: Normalisasi istilah ‘office wife’ dan ‘office husband’ bukan sahaja membuka ruang fitnah, malah boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, mengganggu kestabilan emosi serta menggugat institusi keluarga.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, pihaknya menyeru semua majikan, jabatan kerajaan dan sektor swasta agar memperkukuhkan budaya kerja profesional, selamat dan patuh syariah.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, hubungan sesama pekerja perlu sentiasa berasaskan hormat, amanah dan integriti.
“Institusi keluarga adalah benteng utama masyarakat dan sebarang budaya yang boleh meruntuhkan asas ini wajib dicegah lebih awal demi kesejahteraan ummah serta keberkatan negeri Perak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menyokong penuh teguran Jabatan Mufti Negeri Perak berhubung fenomena ‘office wife’ dan ‘office husband’ yang semakin membimbangkan dalam budaya kerja masa kini.
Menurut beliau, Islam tidak menghalang wanita bekerja dan mencari rezeki halal, namun setiap urusan mesti dipandu dengan adab pergaulan, batas syarak serta menjaga maruah diri dan institusi keluarga.
“Hubungan terlalu rapat antara rakan sekerja berlainan jantina sehingga melibatkan perkongsian emosi, urusan peribadi dan kebergantungan yang menyerupai pasangan suami isteri adalah perkara yang perlu dibendung segera,” tegasnya.
Terdahulu, Jabatan Mufti Negeri Perak mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Adab pergaulan semasa bekerja: Menangani fenomena office wife-husband menurut perspektif syarak’.
Menurutnya, Islam membenarkan wanita bekerja selagi mematuhi syariat dengan menjaga batas pergaulan, namun fenomena ‘office wife-husband’ yang melibatkan hubungan emosi akrab boleh membawa fitnah dan merosakkan keharmonian rumah tangga.
Sehubungan itu jelasnya, Islam melarang ikhtilat dan khalwat serta menekankan adab pergaulan profesional di tempat kerja bagi menutup pintu maksiat dan memelihara maruah, iman serta kesejahteraan masyarakat. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











