
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya memberikan tumpuan lebih serius terhadap kegiatan kartel dan ‘jerung’ yang mendalangi penyeludupan diesel berskala besar berbanding hanya memfokuskan kepada penyeludup kecil-kecilan di sempadan negara.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, tindakan meletakkan anggota polis bagi mengawasi 80 stesen minyak di kawasan sempadan dilihat sebagai langkah yang kurang efisien dan membazirkan sumber tenaga kerja serta wang ringgit.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya selama 34 tahun dalam sektor perladangan swasta, penggunaan diesel industri melibatkan jumlah yang sangat besar dan dibeli secara pukal daripada pembekal berlesen, bukannya dari stesen minyak runcit.
Bakri menjelaskan, harga diesel industri pada masa ini mencecah sekitar RM7.40 seliter, jauh lebih tinggi berbanding harga diesel runcit di stesen minyak (RM6.72) dan diesel bersubsidi di Sabah serta Sarawak (RM2.15).
“Syarikat atau pihak industri dilarang sama sekali membeli diesel daripada stesen minyak dan perbuatan tersebut melanggar peraturan. Justeru, persoalan timbul mengenai sejauh mana keberkesanan mengawal stesen minyak runcit sedangkan punca kebocoran sebenar mungkin datang daripada saluran lain.
“Berapa banyak diesel yang boleh diseludup dari stesen minyak sehingga perlu meletakkan polis untuk mengawasi 80 stesen di seluruh negara? Adakah ia benar-benar berbaloi?” persoal beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka.
Turut menarik perhatian beliau ialah mengenai laporan media berhubung rampasan 800,000 liter diesel di perairan Pulau Pinang berbanding kes tangkapan penyeludupan 125 liter di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.
“Dari punca mana jumlah diesel sebanyak 800,000 liter ini datang? Saya tidak fikir sesebuah stesen minyak mampu menyimpan stok sebanyak ratusan ribu liter dalam sebulan. Adakah ia datang daripada pengusaha pam minyak, pedagang, atau wujudnya kartel dan ‘permainan’ di peringkat atasan?” katanya.
Beliau menambah, walaupun kedua-dua perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang, perbezaan nilai rampasan antara 125 liter dan 800,000 liter menunjukkan jurang amat besar yang memerlukan tindakan lebih strategik pihak berkuasa.
Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka menyarankan agar kerajaan memanfaatkan sistem digital secara dalam talian untuk memantau pergerakan bahan bakar tersebut dengan lebih berkesan.
“Kebimbangan saya ialah kerajaan terlalu memberi tumpuan kepada ‘ikan bilis’ sedangkan kartel dan jerung mampu menyedut ratusan ribu liter bahan bakar dalam sekelip mata.
“Kerajaan perlu lebih bijak memantau ekosistem ini secara menyeluruh agar tidak berlaku pembaziran tenaga dan fokus dalam menangani isu ketirisan subsidi negara,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 15/4/2026











