
KUALA LUMPUR: Usaha menangani krisis sosial dan keganasan domestik di negara ini perlu bermula dengan pemerkasaan peranan lelaki sebagai ketua keluarga serta pengukuhan institusi kekeluargaan secara menyeluruh.
Pengerusi Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin berkata, keseimbangan peranan antara lelaki dan wanita dalam sistem kekeluargaan adalah asas utama bagi menjamin kestabilan masyarakat.
Beliau menjelaskan, pelbagai faktor luaran seperti tekanan ekonomi, masalah komunikasi, pengaruh media sosial serta penyalahgunaan dadah dikesan menjadi punca utama yang menyumbang kepada ketegangan rumah tangga sejak kebelakangan ini.
“Pendekatan pembangunan di peringkat negara dan negeri wajar memberi fokus menyeluruh kepada pembangunan modal insan melibatkan lelaki, wanita, keluarga dan kanak-kanak.
“Dasar yang dibangunkan juga perlu memberi perhatian khusus kepada pemerkasaan lelaki sebagai ketua keluarga agar aset terbaik negara dapat dilahirkan melalui pelan jangka panjang yang berkualiti,” katanya kepada Harakahdaily.
Peranan lelaki sebagai wali
Mengulas lanjut Asmak berkata, lelaki bukan sahaja bertanggungjawab terhadap keluarga inti, malah dalam amanah di sisi hukum agama Islam memikul peranan besar sebagai wali kepada keluarga luas.
Menurut beliau, apabila lelaki kembali berfungsi pada landasan yang sebenar, ia akan memberi kesan langsung kepada kestabilan isteri dan anak-anak iaitu keluarga tersebut.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap penghakisan nilai agama dalam masyarakat, termasuk aspek tanggungjawab menafkahi keluarga yang kini semakin luntur.
“Masyarakat kini berdepan krisis pengamalan agama, termasuk dalam kalangan lelaki yang tidak konsisten menunaikan solat, malah ada yang meninggalkan solat Jumaat. Ini merupakan isu besar yang perlu ditangani segera,” katanya.
Peranan ibu dan tanggungjawab komuniti
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan ibu sebagai penentu hala tuju keluarga, terutamanya dalam aspek akidah, emosi dan pendidikan anak-anak.
Namun, beliau turut menegur sikap individualistik yang semakin menebal dalam masyarakat sehingga menyebabkan tanggungjawab terhadap keluarga besar, seperti menjaga kebajikan anak yatim dan saudara-mara di mana semakin terabai.
“Jiran juga tidak lagi berani mengambil tahu urusan persekitaran. Kita perlu sedar bahawa jenayah yang melibatkan kecederaan fizikal adalah tanggungjawab sosial dan bukannya sekadar urusan dalaman keluarga semata-mata,” tegasnya.
Kes dera anak cetus bimbang
Menyentuh mengenai isu keselamatan golongan rentan, Asmak merujuk kepada kes penderaan tragis di Taman Sungai Mas, Perak baru-baru ini yang melibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Menurut laporan media tempatan, mangsa maut dipercayai didera oleh kalangan dekat dengan mangsa iaitu ahli keluarganya terdiri daripada bapa tiri dengan penglibatan ibu kandung serta datuk dan neneknya sendiri.
“Tragedi sedemikian menunjukkan bagaimana tekanan hidup dan ketidakseimbangan kuasa dalam keluarga boleh membawa kepada akibat yang fatal. Anak-anak sering menjadi mangsa kerana mereka tidak mampu melawan.
“Apabila kewarasan terganggu akibat masalah kewangan atau penyalahgunaan bahan terlarang, individu tidak lagi melihat peranan murni mereka sebagai pelindung dalam keluarga,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar dasar dan peruntukan bajet negara difokuskan secara lebih efisien untuk membangunkan institusi keluarga dalam konteks sebenar bagi memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak dan golongan lemah dapat diperkukuhkan. – HARAKAHDAILY 15/4/2026











