
GENEVA: Sekumpulan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) memberi amaran bahawa draf undang-undang di Perancis yang bertujuan untuk menangani apa yang dilabelnya ‘bentuk antisemitisme baharu’ boleh menjejaskan kebebasan bersuara dan hak asasi lain.
Rang Undang-Undang (RUU) yang diperkenalkan kepada parlimen Perancis pada November 2024 oleh Caroline Yadan itu mencadangkan hukuman jenayah bukan sahaja kerana menafikan kewujudan sesebuah negara, tetapi juga kerana membandingkan Israel dengan rejim Nazi.
Undang-undang itu, yang dijadualkan untuk bacaan pertamanya pada hari Khamis (esok), telah mendapat sokongan meluas merentasi spektrum politik, termasuk sokongan daripada golongan haluan kanan, lapor TRT World
Namun menurut kenyataan panel lima pakar PBB itu, tambah laporan berkenaan, ia akan memperluaskan kesalahan ‘pemuliaan keganasan’ yang sudah samar-samar dan meluas di bawah undang-undang Perancis.
“Sekatan kebebasan bersuara dan pendapat yang tidak wajar juga akan membendung perdebatan awam yang sah dan advokasi hak asasi manusia, termasuk mengenai Palestin dan Israel.
“Rang undang-undang itu akan mengkriminalkan hasutan terhadap keganasan ‘walaupun secara tersirat’ serta kenyataan yang dianggap ‘meminimumkan’ atau ‘memperkecilkan secara berlebihan’ tindakan pengganas atau mereka yang bertanggungjawab ke atasnya.
“Ia juga akan menjadikannya satu kesalahan untuk menyeru secara terbuka bagi pemusnahan sesebuah negara yang diiktiraf oleh Perancis, atau untuk menyatakan pandangan yang dianggap ‘meminimumkan’ atau ‘memperkecilkan secara berlebihan; jenayah Holocau’dalam apa jua bentuk’,” tegas kumpulan panel pakar PBB itu.
Pakar-pakar PBB berkenaan juga berkata, langkah sedemikian berisiko menyekat ucapan yang sah.
“Undang-undang jenayah tidak sepatutnya menyekat pandangan yang berbeza tentang peristiwa semasa atau masa lalu, walau bagaimanapun tidak tepat, tidak popular, atau mengejutkan, melainkan jika ungkapan sedemikian bertujuan untuk menghasut keganasan dan secara objektif berkemungkinan berbuat demikian,” jelas mereka.
“Mereka juga memberi amaran agar tidak menyekat perdebatan mengenai isu-isu seperti penentuan nasib sendiri dan kenegaraan.
“Dengan memesongkan makna antisemitisme dan mengaitkannya dengan pelbagai ekspresi politik yang sah, Rang Undang-Undang itu berisiko meremehkan contoh sebenar kebencian antisemit, menghalang pengenalpastian mereka, dan mencetuskan persepsi tentang instrumentalisasi,” tambah mereka.
Pakar-pakar terbabit juga menekankan bahawa ‘emerangi antisemitisme, seperti semua bentuk diskriminasi kaum, agama atau lain-lain, adalah objektif yang penting’, sambil berhujah berhujah bahawa RUU itu menggabungkan antisemitisme dengan kritikan terhadap Israel.
“Kritikan terhadap Israel dan Zionisme tidak membentuk antisemitisme,” tegas mereka lagi
Terdahulu menurut PBB, pelapor khas, pakar bebas dan kumpulan kerja adalah sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai prosedur khas Majlis Hak Asasi Manusia PBB. – HARAKAHDAILY 15/4/2026











