
SHAH ALAM: Diyat dan kemaafan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan keupayaan sistem keadilan untuk memulihkan masyarakat secara menyeluruh.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, dalam tradisi perundangan Islam, konsep diyat menawarkan kerangka keadilan yang lebih seimbang dengan mengiktiraf hak mangsa melalui pampasan, di samping memberi nilai signifikan kepada kemaafan dalam menentukan bentuk hukuman.
Beliau berkata, pendekatan itu menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar bersifat menghukum, tetapi turut berperanan memulihkan hubungan sosial yang terjejas akibat sesuatu tragedi.
“Ketika ini, ketiadaan mekanisme jelas untuk mengiktiraf kemaafan dalam sistem undang-undang semasa boleh menimbulkan ketidakseimbangan.
“Walaupun kemaafan telah diberikan, tertuduh masih boleh berhadapan dengan hukuman penjara, yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit, malah menjejaskan keluarganya dari sudut ekonomi dan sosial,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.
Menurutnya, situasi tersebut boleh mewujudkan persepsi bahawa sistem keadilan kurang memberi ruang kepada penyelesaian bersifat restoratif, sedangkan matlamat asal pendakwaan adalah untuk melindungi kepentingan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menzahirkan rasa terharu terhadap tindakan seorang bapa tunggal yang memaafkan guru terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kelantan.
“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tertekan pedal minyak sebelum terbabas dan merempuh mangsa,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, tragedi tersebut membuka ruang renungan mendalam mengenai keperluan menyeimbangkan keadilan jenayah dengan nilai kemanusiaan, khususnya dalam kes kecuaian yang tidak disengajakan.
“Dalam konteks negara yang berusaha memperkukuh sistem pendidikan dan kesejahteraan sosial, insiden ini tidak wajar dilihat sebagai kes terpencil.
“Sebaliknya, ia boleh menjadi asas untuk menilai semula pendekatan dasar terhadap kesalahan yang membawa kepada kehilangan nyawa tanpa niat jenayah,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sistem perundangan sedia ada yang mengenakan hukuman berat sebagai langkah pencegahan dan perlindungan kepentingan awam tetap relevan, khususnya dalam kes kecuaian serius seperti pemandu mabuk.
“Prinsip keadilan retributif yang menekankan hukuman setimpal kepada pesalah wajar dilaksanakan dalam kes sedemikian bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta sebagai mesej pencegahan kepada masyarakat,” katanya.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada pendekatan tersebut cukup anjal untuk mengambil kira elemen kemaafan, terutama dalam kes yang tidak melibatkan niat jenayah.
Dari sudut ekosistem sosial, katanya, pengiktirafan terhadap kemaafan berpotensi mengurangkan konflik berpanjangan, memperkukuh empati serta menggalakkan penyelesaian yang lebih harmoni.
“Dalam konteks pendidikan pula, ia dapat mendidik masyarakat mengenai nilai tanggungjawab, keinsafan dan pemulihan, di samping memastikan institusi perundangan terus memelihara prinsip akauntabiliti,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu mekanisme dasar dipertimbangkan bagi membolehkan kemaafan mangsa atau ahli keluarga mangsa diambil kira sebagai faktor mitigasi dalam penentuan hukuman, khususnya bagi kes kecuaian yang tidak disengajakan.
Katanya, langkah itu boleh dilaksanakan melalui pindaan undang-undang yang memberi ruang kepada pertuduhan alternatif atau hukuman lebih ringan, termasuk denda tanpa pemenjaraan.
“Kepimpinan yang beramanah menuntut setiap dasar bukan sahaja adil dari sudut perundangan, tetapi juga membawa kesejahteraan kepada semua pihak.
“Akhirnya, dalam membina dasar yang matang, kita perlu mengimbangi ketegasan undang-undang dengan nilai kemanusiaan,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh kenderaan dipandu seorang wanita yang terbabas di hadapan surau SMK Tanjong Mas dekat Pengkalan Chepa, Kelantan, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakan mangsa yang cedera parah di bahagian badan kini dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), manakala pemandu kenderaan terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan. – HARAKAHDAILY 15/4/2026











