MSTG perkasa pendidikan holistik

Cetusan idea AlmarhumTuan Guru Nik Aziz terus relevan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Maahad Sains Tok Guru (MSTG) terus menjadi model pendidikan unggul negeri apabila berjaya menggabungkan pelbagai aliran ilmu dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, selepas meneroka integrasi tahfiz dan qiraat yang kemudiannya berkembang kepada tahfiz dan sains tulen, negeri ini terus merintis pendekatan pendidikan yang lebih segar.

- Advertisement -

Menurutnya, pendekatan itu diperkukuhkan melalui integrasi tahfiz, sains tulen, penguasaan bahasa dan pengajian turath menerusi penubuhan MSTG.

“Perkembangan ini memberi nafas baharu kepada landskap pendidikan negara yang semakin mendapat perhatian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Satu Dekad MSTG.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Dr. Mohd Amar Abdullah; Yang Dipertua PIBG MSTG yang juga exco Kerajaan negeri, Dato’ Dr. Izani Husin; dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Shamsul Abu Bakar.

Sehubungan itu, Mohd Nassuruddin menyatakan, genap 10 tahun MSTG merentasi fasa awal medan tarbiah dengan pelbagai pencapaian membanggakan.

“Walaupun masih baharu, pelbagai episod kecemerlangan telah dilakarkan. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MSTG,” katanya.

Katanya lagi, generasi yang ingin dilahirkan melalui sistem pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan adalah generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa Rabbani.

“Insya-Allah, generasi pewaris yang ditarbiah ini mampu memimpin masa depan ummah dengan panduan iman dan hikmah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, MSTG mempunyai nilai sejarah yang besar kerana penubuhannya merupakan cetusan idea Almarhum Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan.

Tambah beliau, gagasan tersebut mencerminkan pandangan jauh seorang pemimpin yang amat menitikberatkan pembangunan pendidikan berteraskan nilai Islam.

“Pendekatan ini bertujuan melahirkan generasi Muslim yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kekuatan iman dan akhlak,” katanya.

Beliau menjelaskan, tempoh sedekad penubuhan MSTG membuktikan kesungguhan dalam membina institusi yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan kukuh sudut pembinaan insan.

“Gabungan ilmu aqli dan naqli serta keseimbangan antara turath dan teknologi menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 15/4/2026

- Advertisement -