Lepas benih Tereboi bantu ekonomi nelayan darat

16,000 benih ikan Tereboi atau Terboi dilepaskan ke Sungai Parit Panjang
- Advertisement -

BALING: Usaha membantu golongan sasaran terus menjadi fokus utama Kerajaan Negeri, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup serta keperluan harian melambung tinggi.

Antara golongan turut mendapat perhatian, termasuklah nelayan darat yang mencari sumber rezeki serta perbelanjaan harian melalui tangkapan hasil sungai.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria mengharapkan, usaha pelepasan anak benih ikan ke sungai akan dapat membantu golongan tersebut.

Beliau berkata demikian terhadap inisiatif Jabatan Perikanan melepaskan 16,000 benih anak ikan Tereboi atau Terboi ke Sungai Parit Panjang bagi memperkayakan lagi sumber ikan di sungai tersebut.

Sungai Parit Panjang, di sini merupakan nadi utama nelayan darat persekitaran bagi menyediakan sumber pendapatan harian melalui tangkapan hasilnya.

ADUN Kuala Ketil, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria (tengah) sedang melepaskan benih ikan Tereboi ke gigi air Sungai Parit Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu juga berharap, inisiatif tersebut dapat memberi manfaat berterusan kepada penduduk setempat serta nelayan darat di kawasan tersebut.

“Apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang sangat mencengkam berikutan kenaikan harga diesel yang begitu tinggi,” ujar beliau memuji usaha tersebut.

Dalam masa yang sama benih ikan Tereboi itu diharapkannya dapat membesar serta berkembang biak, seterusnya menjadi sumber rezeki para nelayan darat di situ.

Majlis pelepasan benih ikan Tereboi itu, turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Sukri Deris dan Ketua Perikanan Daerah Baling, Nurul Nadia Abdul Rahman serta Penghulu Mukim Teloi Kanan, Muhammad Effy Izzuan Azni.

Juga disertai beberapa Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) berhampiran dan penduduk setempat.

Ikan Tereboi atau Terboi juga dikenali nama saintifiknya ‘Osteochilus vittatus’ atau ‘O. hasseltii’ antara spesis ikan air tawar yang popular dan sangat sedap digoreng garing.

Ikan Tereboi merupakan spesies ikan air tawar yang semakin kurang dikenali oleh generasi baru masa kini.

Ia hanya terdapat di sekitar sungai air tawar di Asia Tenggara, Sungai Mekong dan sekitar sungai-sungai Chao Phraya dan hanya mendiami kawasan sungai berarus, tasik, kolam, paya berarus dan sebagainya.- HARAKAHDAILY 15/4/2026

- Advertisement -