Tahan reman TikToker: Anwar tak boleh dikritik?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan penahanan TikToker Seketul Jorjet Myla mencetuskan ketidakpuasan hati pelbagai pihak yang mempersoalkan justifikasi undang-undang serta keperluan tindakan tersebut hanya kerana kritikan terhadap kepimpinan negara.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kes ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya intimidasi politik terhadap aktivis media dan suara kritikal, selain ruang kebebasan bersuara semakin mengecil melalui penggunaan penguat kuasa.

- Advertisement -

“Penahanan itu dilihat keterlaluan kerana tiada kejelasan yang tuntas mengenai kesalahan sebenar yang dikaitkan dengan individu berkenaan setakat ini,” katanya yang merupakan seorang pengamal undang-undang.

Beliau menegaskan bahawa dalam sistem politik yang terbuka, pemimpin seharusnya bersedia menerima kritikan rakyat termasuk luahan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran negara.

“Besar sangat ke kesalahan Myla ini? Kesalahan dia pun tidak jelas lagi. Kalau bercakap soal tidak puas hati dan menyuarakan pandangan, itu sebahagian daripada realiti dalam politik.

“Kalau tidak boleh terima kecaman, jangan berada di pentas politik. Orang politik perlu terbuka kepada kritikan kerana kita sendiri memilih untuk mendedahkan diri kepada rakyat,” bidasnya.

Rafique turut menegaskan bahawa kritikan rakyat merupakan elemen penting dalam memastikan pemimpin sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat dan tindakan mengekang suara sedemikian boleh memberi kesan kepada iklim demokrasi.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan profesionalisme tindakan pihak berkuasa yang didakwa menahan Myla selama tiga hari termasuk proses reman dijalankan.

“Difahamkan Myla yang berasal dari Kuantan telah dibawa ke IPD Dang Wangi dan ditahan selama tiga hari. Ini menimbulkan persoalan kerana dalam kes tertentu, penjenayah pun hanya ditahan satu hingga dua hari selepas maklumat diambil dan jaminan dipohon,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan menahan individu yang sekadar menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan sebagai satu langkah melampaui batas dan berpotensi menimbulkan persepsi bahawa penguat kuasa digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Ucapan yang menyatakan hasrat dan ketidakpuasan hati rakyat dianggap sebagai hasutan jenayah sehingga boleh ditangkap dan ditahan selama tiga hari. Ini menunjukkan undang-undang digunakan secara berlebihan,” katanya.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dalam pada itu turut mempersoalkan tindakan berkenaan dengan menyatakan bahawa kandungan video yang dikaitkan dengan kes itu tidak mengandungi unsur hasutan melampau.

Menurutnya, video berdurasi 3 minit 14 saat yang tular itu tidak mengandungi kata-kata kesat, unsur lucah atau penghinaan terhadap institusi diraja dan tidak menunjukkan sebarang niat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Apa yang dikritik hanyalah sifat dan cara pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.turut mempersoalkan penggunaan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Kecil dalam siasatan kes berkenaan.

Mohd Zai berkata, tindakan menahan individu tersebut selama tiga hari juga menimbulkan persoalan memandangkan kes itu didakwa boleh diselesaikan melalui proses rakaman percakapan tanpa perlu penahanan reman.

Dalam pada itu, beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang dilaporkan menyatakan bahawa polis tidak perlu menyiasat pengkritik, kecuali melibatkan isu penghinaan institusi diraja.

“Persoalannya, kenapa masih ada penahanan terhadap pengkritik?” katanya turut menegaskan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara walaupun tertakluk kepada undang-undang tertentu dan menyuarakan kebimbangan terhadap penyempitan ruang demokrasi di negara ini.

Tambah beliau lagi, penahanan seorang rakyat biasa yang bukan ahli politik turut menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat mengenai sejauh mana ruang kritikan masih dibenarkan dalam sistem demokrasi negara.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohamad Sufi Kamari yang juga aktivis media turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan menahan individu berkenaan sehingga tiga hari untuk siasatan.

Beliau mempersoalkan justifikasi penahanan tersebut, sambil menyatakan bahawa tindakan itu dilihat tidak setimpal sekiranya kesalahan yang dilakukan hanya melibatkan penyebaran pandangan atau kritikan di media sosial.

“Apa kesalahan sehingga perlu ditahan dan direman selama tiga hari? Adakah beliau terlibat dalam jenayah seperti mencuri atau merompak?” katanya yang turut hadir di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.

Menurut Sufi, tindakan terhadap individu yang membuat video kritikan keras terhadap kerajaan hari ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai tahap kebebasan bersuara.

Beliau turut menegaskan bahawa individu berkenaan bukan ahli mana-mana parti politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas tindakan tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau mengaitkan kes tersebut dengan insiden melibatkan seorang lagi individu dikenali sebagai Kamil, yang turut ditahan sebelum ini susulan kandungan video TikTok yang mengkritik kepimpinan negara.

“Kamil ditahan di rumah pada waktu malam, disaksikan jiran-jiran. Keadaan itu menyebabkan trauma kepada anak isteri serta ibu bapanya,” ujarnya menegaskan penahanan itu memberi kesan bukan sahaja kepada individu terbabit, malah emosi ahli keluarga.

Tambah beliau, selepas kejadian itu, individu berkenaan dilaporkan memperlahankan penghasilan kandungan kritikan terhadap kerajaan.

“Bukan kerana takut, tetapi mengambil kira kesan terhadap keluarga, terutama apabila tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan cara yang memberi tekanan,” katanya lagi.

Beliau turut mengimbau pandangan Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff yang sebelum ini mendakwa pendekatan kerajaan masa kini dilihat cenderung kepada unsur intimidasi bagi mengekang suara rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kebebasan bersuara terus dipelihara selaras dengan prinsip demokrasi, selain menuntut penjelasan lebih telus daripada pihak berkuasa berhubung tindakan penahanan tersebut. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -