Jika Azam Baki tidak bersalah, dedah segera laporan

Jika bersalah, beliau tak wajar terus memimpin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut laporan siasatan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, didedahkan sepenuhnya kepada rakyat tanpa sebarang kelewatan.

Pengarah Pilihan Rayanya, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, jika wujud pelanggaran peraturan atau salah laku, Azam Baki mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan susulan diambil.

- Advertisement -

Menurut beliau, sekiranya laporan Bloomberg hanyalah satu tuduhan, kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga kredibiliti dan maruah kerajaan.

“Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang lebih luas, termasuk dakwaan kewujudan rangkaian ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, kredibiliti, integriti dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan khususnya agensi penguatkuasa mesti diutamakan berbanding survival mana-mana individu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, reformasi institusi dan tata kelola yang baik tidak tertegak hanya melalui slogan, sebaliknya mesti dibuktikan dengan tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda PAS masih menunggu tindakan undang-undang kerajaan terhadap Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya laporan siasatan berhubung isu berkenaan tidak didedahkan segera kepada umum.

“Jika kerajaan di pihak yang benar, mustahil kerajaan melengah-lengahkan tindakan undang-undang dengan dakwaan yang berat sebegini,” tempelak beliau.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses sewajarnya.

Katanya, rakyat menerima kenyataan itu dengan harapan kerajaan benar-benar serius untuk membina budaya akauntabiliti, namun apa yang berlaku kini memberi gambaran berbeza.

Menurutnya, laporan siasatan berkenaan dikatakan sudah siap, dibentangkan kepada Kabinet dan dirujuk kepada pihak berkaitan.

“Jadi mengapa rakyat masih dibiarkan tertanya-tanya? Jika Azam Baki didapati tidak bersalah, tiada sebab untuk laporan itu terus disembunyikan.

“Jika sebaliknya, lebih tidak masuk akal untuk beliau terus kekal memimpin institusi pencegahan rasuah negara,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pada 2022, Anwar Ibrahim antara tokoh paling lantang mendesak agar Azam Baki direhatkan sementara siasatan dijalankan.

“Hari ini, apabila berada di tampuk kuasa, sikap itu berubah sama sekali. Bukan sahaja Azam Baki tidak digantung, malah kontraknya telah tiga kali diperbaharui, dan terkini hasil siasatan pula ditangguhkan daripada pengetahuan rakyat,” dedahnya.

Menurutnya, isu berkenaan bukan lagi sekadar melibatkan seorang individu, sebaliknya menjadi ujian besar terhadap kredibiliti SPRM, kesungguhan kerajaan memerangi rasuah serta imej Malaysia di mata rakyat dan pelabur.

“Apabila laporan siasatan terhadap tokoh penting seperti ini pun gagal didedahkan secara terbuka, rakyat tentu akan mempersoalkan sejauh mana kerajaan benar-benar komited kepada reformasi,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, kerajaan menafikan kenyataan Bloomberg bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penangguhan pendedahan siasatan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, prosiding telah dimulakan mengikut peraturan dan Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan terhadap laporan media tersebut.

Beliau turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Terdahul, Bloomberg dilaporkan memetik sumber menyatakan bahawa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.

Sebelum itu juga, kerajaan dilaporkan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam diketuai Shamsul Azri.

Siasatan itu dijalankan susulan laporan Bloomberg menyatakan Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -