
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dilihat ketandusan isu substansif apabila serangan terhadap Perikatan Nasional (PN) hanya tertumpu kepada persepsi dan bukannya idea, bidas Prof Dr Haim Hilman Abdullah.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, jika benar PN lemah atau gagal, serangan sepatutnya ditujukan ke atas dasar, polisi, atau rekod pentadbiran, sebaliknya PH menunjukkan ia sudah kehabisan peluru politik.
“Yang diserang hanyalah konvoi 9 kilometer dan kaitannya dengan minyak,” tempelak beliau menyifatkan semua itu sebagai tanda pemikiran sempit dan politik murahan PH terhadap Konvoi MB SG4 di Terengganu, baru-baru ini.
Kata Dr Haim lagi, cubaan segelintir pemimpin PH mengaitkan konvoi itu dengan isu pembaziran berikutan kenaikan harga minyak, hanyalah gambaran betapa naif dan cetek pemikiran membaca realiti politik rakyat.
“Apabila himpunan besar berlangsung dengan kehadiran yang tulen dan semangat tinggi, mereka (PH) gagal melihat makna sebenar dengan memilih untuk memutar naratif kepada isu minyak.
“Seolah-olah ia boleh merendahkan nilai kebangkitan tersebut. Namun,
hakikatnya, peserta konvoi itu adalah peserta sebenar yang hadir ke program,” tambahnya.
Beliau juga menjelaskan, program tersebut disusun secara teratur, bergerak dari Dataran Batu Buruk ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu sejauh 9 kilometer sebagai sebahagian perjalanan ke tapak ijtimak.
“Itu bukan pembaziran, bukan gimik, jauh sekali simbol kealpaan terhadap isu rakyat. Ia adalah atur cara mobilisasi, sesuatu yang lazim dalam mana-mana himpunan besar,” bidas beliau.
Namun katanya, apabila pemimpin PH cuba mengaitkan konvoi ini dengan harga minyak, mereka sebenarnya melakukan kesilapan besar, menyerlahkan kelemahan sendiri dalam memahami keutamaan rakyat dengan sifat sebenar perjuangan politik.
Beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, turut berkata, PH ternyata gagal bezakan antara isu kos sara hidup sebagai dasar yang perlu ditangani dengan polisi berbanding menyindir aktiviti rakyat.
“Rakyat boleh hadapi tekanan kos hidup, dan pada masa sama menyertai program yang mereka yakin serta percaya bukan kontradiksi tetapi realiti kehidupan,” tegasnya lagi.
Tambahnya, mengaitkan ia dengan isu minyak hanyalah cubaan memperkecilkan sesuatu yang bersifat teknikal, sedangkan peserta datang secara sukarela.
“Malah dalam mana-mana program berskala besar pun, penyusunan pergerakan seperti ini perkara biasa demi kelancaran dan keselamatan,”
ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra tersebut.
PH ujarnya, wajar memahami bahawa itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap PN walaupun dalam keadaan harga minyak meningkat, kehadiran ribuan peserta tetap berlaku.
Ia juga katanya, sekali gus memberi mesej sangat kuat bahawa rakyat masih sanggup berkorban masa, tenaga dan kos sendiri atas keyakinan kepada perjuangan.
“Jika benar isu minyak begitu menekan hingga menghalang segalanya, maka program seperti ini tidak akan mendapat sambutan sebegitu. Apa yang lebih membimbangkan, apabila pemimpin PH cuba memperlekeh konvoi tersebut.
“Mereka sebenarnya sedang memperlekeh semangat rakyat biasa yang hadir dengan kesungguhan. Malah yang diserang sebenarnya semangat rakyat bukan sekadar konvoi,” bidasnya lagi.
Rakyat sebenarnya ujar beliau, tidak melihat konvoi itu sebagai pembaziran sebaliknya sebagai kebersamaan, kesatuan dan simbol sokongan.
Malah sikap yang ditunjukkan oleh PH itu akan membuatkan simpati rakyat terhadap PN lebih meningkat kerana suara dan semangat mereka dipandang rendah.
“PH perlu sedar cubaan mereka nak mengaitkan konvoi dengan harga minyak bukan sahaja gagal melemahkan PN, sebaliknya menyerlahkan kelemahan pemikiran pihak yang menyerang.
“(Dan) hanya berpaut kepada isu kecil yang tidak memberi makna besar kepada rakyat,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Justeru tegasnya, itulah kelemahan kerajaan hari ini yang lewat bertindak terutama berkaitan perancangan dan pelaksanaan pakej mapan untuk membantu rakyat dan pemain industri.
Khususnya menurut beliau, terhadap kalangan terlibat dalam sektor pengangkutan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, serta sektor pembuatan yang terkesan akibat kenaikan harga minyak. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











