Pengakuan Azam jadi desakan perlunya RCI ditubuhkan

Siasat isu 'mafia korporat'

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan jaringan ‘mafia korporat’ susulan pendedahan dibuat Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengakuan terbuka berkenaan membuktikan bahawa sistem pentadbiran sedia ada telah ditembusi dari dalam oleh kumpulan yang menggunakan struktur sah untuk mengaburi pihak penguat kuasa.

Beliau menegaskan, isu berkenaan bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya merupakan masalah sistemik yang berakar umbi dalam struktur pentadbiran negara apabila jenayah tersebut berselindung di sebalik syarikat berdaftar dan rangkaian dalaman agensi.

“Pengakuan ini membawa implikasi besar kerana ia menimbulkan persoalan asas tentang tahap keberkesanan penguatkuasaan serta integriti institusi yang sepatutnya memelihara undang-undang.

“Persoalan utama ialah sejauh mana pengaruh mereka telah meresap ke dalam institusi negara dan siapa pihak yang melindungi operasi ini sehingga ia sukar dibanteras secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan, siasatan biasa dikhuatiri tidak munasabah untuk merungkai jaringan kompleks tersebut memandangkan agensi dalam sistem yang sama berpotensi terdedah kepada konflik kepentingan atau keterbatasan kuasa.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penubuhan RCI sebagai keperluan mendesak kerana suruhanjaya berkenaan mempunyai kedudukan yang lebih bebas serta kuasa lebih luas untuk memanggil saksi dan meneliti bukti tanpa sebarang campur tangan.

“RCI akan memberi jaminan ketelusan kepada rakyat bahawa siasatan dijalankan bukan sekadar untuk menenangkan keadaan, tetapi benar-benar bertujuan mencari kebenaran dan menegakkan keadilan.

“Asas penubuhan RCI ini bukan lagi bersandarkan tekanan luar atau persepsi semata-mata, tetapi berpaksikan kepada pengesahan dalaman oleh individu paling berautoriti dalam badan pencegahan rasuah negara,” jelasnya.

Menurut Ahmad Fadhli, kegagalan kerajaan mengambil langkah drastik untuk menubuhkan RCI selepas pengakuan sebesar itu akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Katanya, ia boleh ditafsirkan sebagai wujud keengganan untuk mendedahkan kebenaran sepenuhnya atau terdapat pihak berkepentingan yang cuba menghalang siasatan menyeluruh.

“Penubuhan RCI bukan lagi satu pilihan politik, tetapi satu keperluan mendesak demi memulihkan keyakinan rakyat serta mempertahankan integriti institusi negara daripada terus dikuasai jaringan mafia korporat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/4/2026

- Advertisement -