Apa hukum najis yang sedikit jatuh dalam air?

- Advertisement -

Soalan:

Apakah hukumnya air bersih yang jatuh ke dalamnya bangkai serangga seperti semut atau jatuh ke dalamnya najis yang sangat kecil seperti satu titisan halus air kencing?

- Advertisement -

Jawapan:

Apabila jatuh ke dalam air yang bersih yang sedikit oleh bangkai haiwan yang tidak ada darah yang mengalir seperti bangkai serangga umpama semut, maka air itu dianggap masih suci melainkan jika air itu berubah sifatnya.

Yang dimaksudkan dengan air yang sedikit itu ialah air yang tidak sampai ukuran dua kolah.

Dan begitu juga jika jatuh najis yang sangat kecil ke dalam air yang sedikit, maka dimaafkan daripadanya yakni masih dikira sebagai suci.

Berkata Syeikh Abdullah Al-Hadhrami:

ينجس المَاء الْقَلِيل وَغَيره من الْمَائِعَات بملاقاة النَّجَاسَة وَيسْتَثْنى من ذَلِك مسَائِل مَا لَا يُدْرِكهُ الطّرف وميتة لَا دم لَهَا سَائل إِلَّا إِن غيرت أَو طرحت

Ertinya: “Jadi najislah air yang sedikit dan lainnya dari sekalian cecair dengan sebab bersentuh najis. Dan dikecualikan dari yang demikian itu akan masalah najis yang tidak dapat nampaknya oleh penglihatan mata dan bangkai haiwan yang tiada baginya darah mengalir melainkan najis itu sampai mengubah sifat air atau sengaja dilemparkan ke dalam air.” (Kitab Al-Muqaddimah Al-Hadhramiyah)

Kesimpulannya, jika jatuh najis yang sangat kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kerana kecilnya ke dalam air yang sedikit, maka dimaafkan air tersebut yakni air itu masih dikira sebagai suci.

Begitu juga dimaafkan air sedikit yang terjatuh ke dalamnya bangkai haiwan yang tidak ada darah mengalir seperti semut yakni air itu masih dikira sebagai suci.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 5/4/2026

- Advertisement -