
KUALA NERUS: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan pihaknya telah menghantar jemputan kepada semua parti politik termasuk Umno bagi menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat parti yang tidak dapat memenuhi jemputan berkenaan kerana pertindihan dengan program dalaman masing-masing.
“Kita jemput wakil-wakil parti Melayu yang ada dalam negara kita ini. Cuma terpulang kepada mereka sama ada dapat hadir atau tidak.
“Ada yang memaklumkan tidak dapat hadir kerana bertembung dengan program parti mereka sendiri, jadi tidak apalah. Asalkan kita sudah menghantar jemputan.
“Mungkin tidak berkesempatan dalam program ini, kita boleh bertemu di ruang-ruang waktu lain dalam pertemuan majlis, perbincangan, mesyuarat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian program tersebut, di sini hari ini.
Untuk rekod, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu dianjurkan sebagai medan memperkukuh perpaduan umat Islam selain merapatkan kerjasama serantau dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, acara kemuncak program itu akan berlangsung malam ini menerusi Pidato Penyatuan Ummah yang menghimpunkan barisan pemimpin pelbagai latar belakang.
“Kita memberi ruang kepada setiap kelompok untuk menyatakan pandangan dan ucapan mereka,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.
Antara pemimpin yang dijadual menyertai pidato tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
Juga Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir; Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa. – HARAKAHDAILY 4/4/2026











