Desak Sidang Khas Parlimen bahas isu terkini rakyat

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sidang Khas Parlimen perlu diadakan segera bagi membincangkan isu mendesak berhubung situasi melanda negara dan rakyat kini antaranya isu kenaikan harga minyak ekoran krisis global akibat perang di Asia Barat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, sidang khas tersebut merupakan keperluan mendesak bagi membolehkan wakil rakyat mengemukakan pandangan serta cadangan penyelesaian secara menyeluruh.

Menurut beliau, saranan yang dibawa oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencerminkan hasrat sebenar Ahli-ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat, khususnya dalam mendepani tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun melahirkan keraguan sama ada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menyahut desakan tersebut, memandangkan sikap yang dilihat tidak cenderung membuka ruang perbahasan melibatkan semua pihak.

“Sidang Parlimen Khas wajib diadakan segera untuk kita mentuntaskan idea daripada ahli-ahli Parlimen bagi menangani isu yang berlaku pada hari ini,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Pembangkang angkat isu melalui Ijtimak Antarabangsa

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fadhli turut menekankan peranan pembangkang dalam membawa suara Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui penganjuran program seperti Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah.

Menurut beliau, penganjuran himpunan tersebut berlangsung pada waktu yang sangat sesuai ketika dunia berdepan pelbagai krisis termasuk konflik geopolitik dan kemanusiaan.

Katanya, program itu bukan sahaja menonjolkan keprihatinan umat Melayu terhadap isu global, malah mengangkat kembali kekuatan Nusantara sebagai satu suara penting di peringkat antarabangsa.

“Ia memberi isyarat bahawa umat Melayu sentiasa prihatin dengan perkembangan dunia dan bersedia memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan serta menyumbang kepada keamanan sejagat,” ujarnya.

Tambah beliau, kehadiran tokoh antarabangsa seperti Dr Zakir Naik serta wakil luar negara termasuk wakil dari Iran membuktikan pengiktirafan terhadap usaha yang digerakkan oleh PAS.

Jelasnya lagi, walaupun berada di blok pembangkang, PAS dilihat mampu menganjurkan program berskala antarabangsa yang mendapat sambutan dan perhatian pelbagai pihak.

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai sebahagian daripada ‘moto perpaduan umat’ yang akan terus digerakkan bagi memperkukuh jaringan dan pengaruh di peringkat global. – HARAKAHDAILY 4/4/2026

- Advertisement -