
KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihatkan supaya segera menyusun semula dasar gas, petroleum, diesel dan subsidi negara secara menyeluruh bagi menangani tekanan global yang menjejaskan kos sara hidup rakyat.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, ketidaktentuan geopolitik dunia, terutama konflik di rantau Teluk yang mengganggu laluan utama seperti Selat Hormuz, telah menyebabkan harga minyak global menjadi tidak stabil.
Menurut beliau, meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar petroleum dan gas asli, negara masih terdedah kepada turun naik harga dunia melalui Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Keadaan ini menyebabkan harga diesel domestik meningkat antara RM3.92 hingga RM4.72 seliter pada Mac 2026, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan dasar yang serius.
“Diesel adalah komponen utama rantaian ekonomi yang melibatkan sektor logistik, pengangkutan, pertanian dan perikanan. Sebarang kenaikan harga akan dipindahkan kepada harga barangan dan makanan.
“Keadaan ini ekali gus mencetuskan tekanan kos sara hidup berterusan kepada peniaga kecil, pengangkut mikro serta petani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan bahawa dasar tenaga negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran global semata-mata.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan beralih kepada pendekatan yang lebih berteraskan kepentingan domestik melalui pelaksanaan Kewajipan Bekalan Domestik (DSO).
“Langkah ini penting bagi memastikan keutamaan bekalan petroleum dan gas untuk kegunaan tempatan, selain mewujudkan rizab strategik bahan api bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan pada masa hadapan.
“Harga diesel perlu distrukturkan semula melalui mekanisme kawalan yang lebih stabil bagi mengelakkan lonjakan mendadak, selain menyusun subsidi secara lebih bersasar dengan keutamaan kepada sektor kritikal seperti pengangkutan makanan, petani dan nelayan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mumtaz berkata skim diesel bersasar khusus untuk sektor pertanian amat penting bagi memastikan kos pengeluaran makanan kekal terkawal dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun rasionalisasi subsidi bertujuan memberi penjimatan fiskal kepada kerajaan, ia boleh membebankan rakyat jika reka bentuk dasarnya tidak tepat.
“Dalam perspektif Islam, pengurusan sumber negara adalah amanah yang menuntut keadilan agar manfaat sumber asli negara dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr, ayat 7.
“Malaysia perlu bergerak ke arah model kedaulatan tenaga berteraskan rakyat yang menyeimbangkan antara hasil negara dan kebajikan. Tanpa pembaharuan yang berani, rakyat akan terus menanggung beban akibat faktor luar kawalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2026











