
KUALA NERUS: Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu petang semalam seakan-akan menghidupkan kembali lembaran sejarah silam apabila ribuan pengunjung hadir lengkap berbusana Melayu klasik, mencipta suasana penuh warna dan jiwa.
Dari anak kecil hingga dewasa, tanjak megah terletak di kepala, sampin terikat kemas di pinggang serta baju Melayu pelbagai potongan dan warna, menjadikan kawasan itu seolah-olah sebuah ‘lautan tradisi’ yang bergerak dan bernafas.
Suasana tersebut jelas menggambarkan seolah-olah masa berputar ke belakang, membawa pengunjung menyelusuri era kegemilangan tamadun Melayu yang kaya dengan adab, seni dan warisan.
Himpunan Alam Melayu yang berlangsung dengan tema busana tradisional itu berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung, termasuk penyertaan dari luar negara yang turut hadir bagi menyaksikan keunikan budaya serumpun.
Pelbagai pengisian disusun bagi menghidupkan acara, antaranya Persembahan Seni Silat Alam Melayu yang memukau, pidato oleh wakil antarabangsa, persembahan silat khas serta pameran khazanah bangsa Melayu yang sarat dengan nilai sejarah.
Antara mencuri tumpuan ialah sesi pidato disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu sekali gus membangkitkan semangat dan rasa bangga dalam kalangan hadirin yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Barisan tokoh yang tampil berpidato termasuk Nik Mansour Nik Abdul Halim dari Vietnam, Muhammad Aladee Zakariya dari Pattani dan Prof Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Universiti Putra Malaysia.
Juga Profesor Dr Ahmad Omar Japakia dari Pattani, Dato Kiam Radja Tuan Guru, Profesor Dr Fekry Juliansyah dari Aceh serta Profesor Dr Syed Khairuddin Al Junaid dari Singapura.
Tidak ketinggalan, persembahan seni bela diri turut diserikan oleh tokoh silat terkenal seperti Wan Hizhan Wan Jusoh atau lebih dikenali sebagai Ayah Mad Dungun serta Ruzaidi Abdul Rahman, bekas juara silat negara, yang mempamerkan keindahan gerak seni warisan Melayu.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, selain Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Gabungan busana tradisional, bahasa jiwa bangsa dan seni mempertahankan diri itu menjadikan himpunan tersebut bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi satu manifestasi kebangkitan semula jati diri Alam Melayu yang merentas sempadan geografi. – HARAKAHDAILY 4/4/2026











