
NAMA Abang Mad tidak besar kepada sebahagian besar ahli-ahli PAS di Semenanjung kerana Almarhum bukanlah pemidato yang memanaskan podium. Bukan ulama yang mengelek kitab berkuliah rata riti, juga bukan anggota legislatif yang memicu pesona. Namun, nama sosok ini harum di Borneo kerana beliau ‘menebas’ hutan belantara dakwah untuk memugar lahan PAS berkembang. Mengukuh tanzim jamaah semenjak awal 1980-an, berkorban harta benda, masa dan kudrat agar gerakan Islam mempunyai prasarana seperti markas dan institusi pendidikan.
Dalam jalur kelompok PAS, beliau dalam ruang pagar aktivis parti yang berkeringat untuk sebaris dengan pimpinan lain.
Aku mula mengenali Almarhum sekitar 2009 saat buku ‘Menerjang Badai’ sedang hangat membahas buku ‘Rejunevasi PAS’ oleh Dr Mujahid Yusof Rawa. Seingat aku dalam program kuliah haraki di Pejabat PAS Tawau, seusai program malam itu beliau mendekatiku dan memuntahkan apa yang terbuku mengenai cicipan tulisan aku berkenaan aktivisme ABIM dalam era 1970-an. Almarhum Haji Mohamad Husain atau Abang Mad Sabah, panggilan manja aku dan kawan-kawan Semenanjung kepada Almarhum yang sinonim dengan binatang eksotik, kerja dakwah, juga tidak lokek bab meraikan sahabat-sahabat ke bumi Tawau.
Bang Mad adalah merupakan kelompok as sabiqun (generasi awal) yang memperkenalkan PAS di Sabah, seawal era 1980-an. Figura dakwah ini bekas Setiausaha kerja ABIM di zaman era 1970-an lagi. Almarhum adalah daripada PAS jalur ABIM, pasca Anwar Ibrahim menyertai kerajaan pada tahun 1982. Kemasukan Anwar ke dalam Umno menyebabkan ABIM berpecah kepada tiga kelompok – kelompok ABIM yang bersama Anwar dijoloki sebagai ‘Anwariyyun’, ABIM Perlis atau kelompok ABIM Ustaz Dahlan dan grup ABIM PAS. Kelompok ABIM yang bersama dengan gerakan PAS seperti Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Dr Abu Bakar Abdullah, Cikgu Sapinah Jusoh, Dr Hamdan Mohamad, Ustaz Ibrahim Mahmud, Cikgu Husein Ismail dan ribuan aktivis pemuda yang lain.
Almarhum dengan karakter tersendiri beliau, kelihatan pendiam serta seperti bukan siapa-siapa. Jika berprogram di Kuala Lumpur seperti bermesyuarat, beliau kadang melepas lelah di ruang nyaman musolla Pejabat Agung dengan teman-teman pimpinan yang lain.
Abang Mad gigih menyebarkan fikrah PAS di Sabah terutamanya di pantai timur Sabah. Generasi pemuda PAS dekad 1990-an Sabah mengakui tokoh ini di antara yang menggerakkan program, menggencarkan kaderisasi dakwah serta menggiatkan penubuhan PASTI.
Penjawat awam yang dipindahkan ke sana biasa mendengar nasihat-nasihat berharga daripada Abang Mad. Tempoh panjang berjuang di Negeri di Bawah Bayu sehingga ramai tokoh ulama haraki dari Semenanjung berpesan agar beliau terus menetap di Sabah. Beliau akhirnya menghembuskan nafas sebagai pimpinan PAS Kawasan Tawau selepas selama lebih tiga dekad.
Seingat saya, Almarhum menjadi AJK Lantikan PAS Pusat pada tahun 2013 sehinggalah tahun 2021. Lelaki berpostur kurus dengan guratan wajah tenang ini berasal dari Kampung Alor Janggus, Kedah dan memilih Daerah Tawau, Sabah untuk meraih rezeki melalui industri penanaman sawit.
Terbayang kenangan jika penulis bertandang ke bumi Tawau, Abang Mad pasti menjamu makanan segar laut sambil mencicip pelbagai isu jamaah. Kecintaan Almarhum kepada perjuangan Islam sangat tinggi; menghabiskan usia hidupnya untuk merimbun aktiviti tarbiah, dakwah dan siasah tanpa lelah di negeri Sabah.
Dunia aktivisme pelajar adalah lahan Abang Mad bergulat dengan idealisme mahasiswa, mendobrak kezaliman penguasa dalam era mahasiswa menggugat 1970-an. Menggalang jawatan penting kampus sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Siswa ITM (KSITM) pada tahun 1974-1975 sezaman dengan Yunus Lebai Ali, Siti Nor Hamid, Kamaruzaman Yaakob, Hishamuddin Rais, Adi Satria, Ibrahim Ali serta lain- lain aktivis mahasiswa. Pelbagai isu rakyat jembel digerakkan oleh anak-anak kampus saat itu sehinggalah kerajaan mengetatkan Akta Universiti dan Kolej.
Kemuncak gerakan mahasiswa negara ini ialah pada tahun 1974 apabila demonstrasi besar sehingga membawa penggelidahan kampus oleh aparat keamanan. Kampus-kampus utama negara diserkap sehingga ribuan mahasiswa telah ditahan oleh pihak keselamatan negara. Almarhum dirakam sejarahnya antara sepuluh pimpinan mahasiswa yang ditahan tanpa bicara di bawah ISA kerana kemuncak demonstrasi pelajar isu kelaparan rakyat di Baling pada Disember 1974. Antara tokoh yang ditahan seperti Dr Syed Husein Ali, pensyarah Universiti Malaya bersama tokoh belia seperti Anwar Ibrahim (MBM/ABIM), tokoh-tokoh anak muda gerakan pelajar termasuk Kamaruzaman Yaakob (Presiden PMUM), Ibrahim Ali (Presiden KSITM) serta lain-lain tokoh muda.
Bermula sebagai penggerak ABIM dalam dekad 1970-an, Almarhum Abang Mad yang mempunyai enam orang cahaya mata dikenali sebagai aktivis tegar PAS. Berhijrah ke Tawau, Sabah dengan memulakan kerjaya sebagai pegawai perladangan di Ladang Murni di Brantian Tawau.
Dalam kepimpinan PAS, Mohamad Husain telah menjawat pelbagai jawatan yang penting, di antaranya sebagai AJK PAS Pusat, Setiausaha PAS Sabah, Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, TYDP Tawau dan Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau sehinggalah helaan nafas terakhirnya.
Obsesi beliau dalam bidang pendidikan Islam sehingga tingkat bawah rumahnya dijadikan PASTI kedua di Sabah. Menjadi penasihat kepada banyak sekolah Islam termasuk penaung kepada Madrasah al-Hidayah, Sungai Iman, Merotai, Sabah. Kediamannya menjadi tapak program majlis korban perdana di Tawau selama puluhan tahun.
Jasa bakti Abang Mad Husain banyak tidak terhitung di Sabah. Kerencaman masyarakat bervariasi budaya serta etnik bukanlah ladang subur kepada PAS, namun Almarhum dan generasinya sangat gigih sehingga PAS mempunyai anak sulung DUN Karambunai di dalam DUN Sabah dalam pilihan raya negeri Sabah tahun lepas.
Hari ini, langit Sabah menyerap kesedihan, ribuan yang hadir menyolati jenazah Almarhum di Masjid Raya, Tawau. Berehatlah kandaku, moga kepenatanmu dilimpahi rahmat Yang Maha Esa. Kami juga akan menyusulmu tanpa sedetik masa dilewatkan.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 3/4/2026
















