Pelantikan Ketua Pembangkang dibincang sebelum sidang Parlimen

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pelantikan Ketua Pembangkang baharu dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang, namun proses tersebut memerlukan masa kerana melibatkan rundingan menyeluruh antara parti-parti pembangkang.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan berhubung jawatan itu belum dapat ditentukan dalam masa terdekat kerana keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan dalaman parti serta Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Menurut beliau, pelantikan Ketua Pembangkang tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa memandangkan ia melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Tempohnya masih panjang, paling minimum sekitar bulan Jun. Kita nak selesaikan dahulu urusan parti dan Perikatan Nasional.

“Ketua pembangkang ini akan dibincangkan oleh semua pihak kerana ia melibatkan Ahli Parlimen, bukan PAS sahaja, tetapi parti-parti pembangkang lain termasuk dari Sabah dan Sarawak. Jadi, ia perlukan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Kuliah Dhuha sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, di sini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkata, kriteria pemilihan calon Ketua Pembangkang akan mengambil kira pandangan semua parti komponen serta Ahli Parlimen pembangkang.

“Kita ambil kira semua pandangan parti politik termasuk pandangan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah calon yang sedang dipertimbangkan, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan dan tiada senarai khusus setakat ini.

“Tak tahu lagi, belum ada senarai. Calon mesti mendapat persetujuan semua parti komponen,” ujarnya.

Terdahulu, dilaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengumumkan Ketua Pembangkang baharu daripada PAS sebelum akhir Mac ini selepas beberapa proses dalaman parti selesai dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -