Beban pesawah kian berat, kerajaan perlu lihat di lapangan

Lebih RM3,000 kos usaha sawah per ekar susulan harga diesel naik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan wakil rakyat perlu memahami realiti sebenar kehidupan pesawah dan tidak sekadar berbicara dari jauh tanpa mengetahui situasi di lapangan.

Beliau berkata, wakil rakyat adalah wakil rakyat, bukannya wakil korporat, justeru perlu turun sendiri ke sawah untuk mendengar dan merasai apa yang ditanggung golongan pesawah.

- Advertisement -

“Jika benar ada yang mengaku pembela pesawah, marilah turun sendiri ke sawah, dengar dengan telinga sendiri, dan rasai apa yang sedang mereka tanggung.

“Jangan hanya berbicara dari jauh tanpa memahami realiti di lapangan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Idris telah menghadiri majlis dialog bersama petani dan badan bukan kerajaan (NGO) pesawah di Parit Haji Taib 3, Bagan Serai.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menurut Ustaz Idris, kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi jadual, sebaliknya untuk mendengar sendiri denyut nadi dan keluhan pesawah.

Katanya, pesawah berkongsi secara langsung realiti yang dihadapi, khususnya kesan kenaikan harga diesel kepada RM6.02 seliter yang semakin menekan kehidupan mereka.

Beliau berkata, sebelum ini pesawah sudah berdepan pelbagai masalah yang belum selesai termasuk kenaikan harga baja dan racun, kos pengairan, serangan penyakit tanaman serta hasil yang tidak menentu.

“Dengan kenaikan diesel, beban mereka menjadi semakin berat,” tegasnya sambil menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh mereka menunggang isu pesawah.

Beliau berkata, jika mahu menilai keikhlasan, rekod dalam Hansard Parlimen menunjukkan mereka konsisten membangkitkan isu pesawah dalam setiap sidang.

Kos tanaman padi melonjak, pesawah paling terkesan kenaikan diesel

Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata kos tanaman padi yang ditanggung pesawah kini meningkat ketara melebihi RM3,000 per ekar berbanding sekitar RM2,000 sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan kos itu berkait rapat dengan keperluan penggunaan diesel dalam pelbagai proses penanaman termasuk membajak, menuai dan operasi pam air.

“Sedangkan jentera membajak dan menuai tidak menerima subsidi di bawah Budi Agri-Komoditi,” kesal beliau.

Hamzah berkata, isu lain yang turut membebankan pesawah ialah kelewatan dan kerumitan dalam pelaksanaan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

Beliau berkata, beliau bersama rakan Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang turun padang mendengar sendiri rintihan pesawah yang terkesan.

“Mereka ini adalah antara golongan rakyat yang paling terkesan dengan kenaikan mendadak harga diesel,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -