
KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) mengemukakan tiga syor strategik ‘luar kotak’ kepada kerajaan bagi mengurangkan impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global susulan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, krisis tenaga yang melanda dunia ketika ini tidak seharusnya ditangani dengan kaedah biasa sehingga melepaskan bebanan berat kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu bersikap telus serta mengambil tindakan proaktif dengan menghimpunkan tenaga pakar dalam industri minyak dan perdagangan dunia bagi memperincikan semula prosedur serta pendekatan sedia ada.
“Langkah berani perlu diambil untuk meminimumkan impak bekalan minyak mentah yang terhad demi keperluan negara. MN telah menyampaikan syor spesifik jangka pendek kepada Perdana Menteri.
“(Juga kepada) Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk pertimbangan segera,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Antara syor utama yang dikemukakan termasuklah cadangan penggunaan ‘mata wang hijau’ (green currency) serta pelaksanaan perdagangan barter secara terus antara negara pembekal diesel dengan Malaysia yang membekalkan minyak sawit mentah (CPO).
Annuar menjelaskan, sistem barter antara ‘kalori’ dan ‘tenaga’ dengan negara tertentu mampu mengatasi masalah tunggakan (backlog) bekalan minyak mentah dari Selat Hormuz.
Selain itu, MN turut mencadangkan agar kerajaan mengimbangi pembelian bahan api menggunakan dolar Amerika (USD) kepada sistem alternatif menggunakan mata wang Yuan (RMB) di Shanghai.
“Pendekatan luar kotak ini akan menjadikan perdagangan negara lebih berketahanan dan tidak terlalu terdedah kepada perdagangan berasaskan greenback semata-mata yang terkesan teruk akibat perang AS-Iran,” katanya.
Dalam pada itu, MN menggesa penguatkuasaan lebih tegas bagi membentras kegiatan ‘Dark Armada’ yang menjalankan aktiviti pemindahan kapal ke kapal (STS) di perairan Johor dan Melaka bagi melabel minyak yang disekat sebagai minyak Malaysia.
Beliau mencadangkan agar bekalan minyak sedemikian dirampas mengikut peraturan sedia ada demi menjaga kedaulatan negara.
Menyentuh mengenai kenaikan harga komoditi, Annuar berkata sebahagian daripada keuntungan tambahan hasil kenaikan harga minyak yang dianggarkan melebihi USD 12 bilion (kira-kira RM56.8 bilion) patut digunakan untuk menurunkan harga diesel.
“Diskriminasi harga antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga perlu diteliti semula memandangkan impak harga diesel yang terlalu tinggi telah mencapai tahap parah, khususnya bagi petani, pesawah serta pengusaha industri kecil dan logistik di Semenanjung,” katanya lagi.
Tambah beliau, isu krisis tenaga ini tidak seharusnya dipolitikkan, justeru MN mengambil langkah menyampaikan terus cadangan-cadangan berkenaan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











