Jenazah YDP PAS Tawau selamat dikebumikan

- Advertisement -

TAWAU: Jenazah Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ar Raudhah, Kampung Pasir Putih, di sini, jam 2 petang hari ini.

- Advertisement -

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman keluarga di Lorong Hamzah Bennet, Kampung Tanjung Batu ke Masjid Raya Tawau pada jam 9.30 pagi bagi urusan pengurusan jenazah.

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan sebelum solat jenazah dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, yang turut dihadiri ahli keluarga, rakan serta kenalan.

Anak Allahyarham, Fadhil Mohamad berkata, urusan pengebumian berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, Setiausaha PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada parti, khususnya di Sabah.

Beliau berkata, Allahyarham dikenali sebagai pemimpin yang komited, istiqamah serta menjadi rujukan dalam kalangan pimpinan dan ahli PAS sejak awal penubuhan parti itu di negeri ini.

“Allahyarham seorang yang mesra, mudah didekati dan sentiasa mengambil berat terhadap semua lapisan masyarakat.

“Malah, walaupun dalam keadaan uzur, beliau tetap meneruskan tanggungjawab dalam parti termasuk melaksanakan kerja di belakang tabir,” katanya.

Menurutnya, pengalaman luas Allahyarham termasuk pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta penglibatan aktif dalam PAS negeri menjadikan beliau tokoh yang disegani.

“Pemergian beliau pada hari yang penuh keberkatan ini amat dirasai dan menjadi kehilangan besar buat PAS Sabah, malah sukar dicari pengganti,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -