
KUALA NERUS: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu ekonomi semasa secara menyeluruh dengan melibatkan semua pihak.
Beliau berkata, langkah itu wajar diambil oleh Perdana Menteri bagi memastikan pandangan pelbagai pihak dapat diambil kira memandangkan kesan ekonomi ketika ini dirasai oleh seluruh rakyat.
“Sepatutnya Perdana Menteri buat begitu kerana kita berada dalam satu kapal. Bukan kerajaan sahaja yang rasa (kesan ekonomi), semua rakyat rasa.
“Sebab itu perlu libatkan wakil rakyat dalam Parlimen. Perbezaan politik perlu diketepikan kerana isu ini harus dipikul bersama, kerajaan tidak boleh tanggung sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Guru turut menyentuh krisis tenaga global yang menurutnya berkait rapat dengan konflik peperangan, sedangkan Malaysia mempunyai sumber sendiri serta peluang kerjasama serantau yang luas.
“Isu tenaga sekarang ini kerana perang, padahal Iran tidak menyekat kita. Mengapa kita turut sama terkesan sedangkan kita ada sumber minyak? Kita juga boleh bekerjasama dengan Indonesia yang merupakan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
“Banyak perkara kita tidak lihat dari sudut kerjasama dan ini menyumbang kepada masalah inflasi sehingga rakyat terkesan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai konflik di Asia Barat melibatkan Iran, beliau berpandangan bahawa pihak yang memulakan serangan adalah Amerika Syarikat dan Israel.
“Saya lihat kepada pihak yang menyerang. Siapa yang menyerang? Amerika dan Israel. Iran diserang. Pihak yang menyerang itu begitu angkuh dan tidak berhenti lagi.
“Ia akan berpanjangan kecuali sampai satu tahap mereka mengaku kalah, ataupun mereka kalah tetapi tidak mengaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











