
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengulas kesungguhan dan komitmen kerajaan berhubung kenyataan ‘tindakan lanjut’ terhadap laporan Bloomberg membabitkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, dalam kes terdahulu berkaitan dakwaan Bloomberg bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas arahan Perdana Menteri, ia berakhir dengan keputusan ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
Menurutnya, pada peringkat awal, Perdana Menteri menafikan laporan itu dengan tegas dan membayangkan akan ada ‘tindakan serius’ terhadap Bloomberg.
“Namun pengakhirannya ialah NFA,” bidas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam media sosial milik beliau.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kenyataan terbaharu kerajaan yang menyebut akan ada ‘tindakan lanjut’ terhadap Bloomberg.
“Ia adalah mberhubung dakwaan Perdana Menteri sengaja melengahkan pendedahan laporan kes pemilikan saham Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Adakah kita tidak boleh bayangkan berapa kadar ‘lanjut’nya itu? Madani mungkin lupa, tapi rakyat tidak lupa,” katanya.
Terbaharu media tempatan melaporkan, kerajaan menafikan kenyataan Bloomberg bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penangguhan pendedahan siasatan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, prosiding telah dimulakan mengikut peraturan dan Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan terhadap laporan media tersebut.
Beliau turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum itu, Bloomberg dilaporkan memetik sumber menyatakan bahawa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Sebelum itu juga, kerajaan dilaporkan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam diketuai Shamsul Azri.
Siasatan itu dijalankan susulan laporan Bloomberg menyatakan Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











