
KRISIS geopolitik di Timur Tengah, khususnya yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutu serantau, merupakan antara pemacu utama ketidakstabilan ekonomi global.
Rantau ini bukan sahaja menjadi medan persaingan kuasa besar, malah memainkan peranan strategik sebagai pusat pengeluaran serta laluan utama perdagangan minyak dunia.
Sudah beberapa kali krisis ini berlaku di Timur Tengah, sejak peperangan Iraq dan Iran dan peperangan teluk. Justeru, setiap kali ketegangan meningkat, kesannya bukan sekadar bersifat geopolitik, tetapi turut mencetuskan implikasi ekonomi yang meluas dan mendalam.
Dalam dunia yang semakin saling berkait, kesan krisis tidak lagi terhad kepada negara yang terlibat secara langsung. Sebaliknya, ia mewujudkan rantaian kesan yang kompleks, bermula daripada gangguan bekalan minyak, diikuti lonjakan harga tenaga, peningkatan kos logistik dan pengeluaran, seterusnya membawa kepada inflasi serta tekanan kos sara hidup.
Penyedia Latihan KKP juga terkesan, antaranya peningkatan kos dalaman organisasi serta kos yang ditanggung oleh pihak industri, khususnya dalam pelaksanaan latihan-latihan KKP mandatori. Oleh itu, Penyedia Latihan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelangsungan operasi yang cekap di samping membantu industri menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
Walaupun pihak industri boleh memanfaatkan skim HRD Corp bagi kursus-kursus tertentu, masih terdapat keperluan untuk mengurangkan kos sampingan seperti pengangkutan, elaun perbatuan dan makanan.
Cadangan strategik kepada Penyedia Latihan
1. Pendigitalan latihan.
a. Mendapatkan kebenaran daripada pihak berkepentingan untuk melaksanakan latihan secara dalam talian (online) bagi mengurangkan kos perjalanan industri, seperti memohon kelulusan semula daripada JKKP untuk melaksanakan latihan kompetensi dalam talian khususnya latihan yang tidak melibatkan kemahiran praktikal.
2. Pengoptimuman kos operasi
a. Menangguhkan perbelanjaan ke atas aset tidak kritikal (aset tepu) seperti pembelian peralatan yang tidak bersifat mandatori.
b. Menangguhkan program keraian atau majlis yang tidak mendesak.
c. Mengurangkan kos utiliti melalui pelaksanaan Work From Home (WFH) bagi fungsi yang sesuai.
d. Membatalkan atau menangguhkan lawatan serta perjalanan yang tidak kritikal.
Krisis di Timur Tengah bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi global, malah turut memberi tekanan langsung kepada kos operasi organisasi seperti Penyedia Latihan KKP dan pihak industri. Justeru, pendekatan yang lebih fleksibel, berasaskan digital dan berorientasikan penjimatan kos perlu dilaksanakan secara strategik.
Langkah-langkah proaktif ini bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan operasi Penyedia Latihan KKP, malah turut membantu industri mengekalkan pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan tanpa dibebani kos yang tinggi.
Ts SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 3/4/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











